Ahmad Samsuri mulakan tugas Menteri Besar penggal baharu - Utusan Malaysia

Ahmad Samsuri mulakan tugas Menteri Besar penggal baharu

AHMAD Samsuri Mokhrae mengimbas cap jari pada alat perakam waktu ketika memulakan tugas harii pertama menjadi Menteri Besar pada penggal kedua di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUIQTRA HAIRRY ROSLI, 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memulakan tugas beliau sebagai Menteri Besar Terengganu secara rasmi hari ini selepas dilantik jawatan itu, petang semalam.

Beliau mengimbas cap jari pada perakam waktu pada pukul 9.07 pagi tadi ketika masuk bekerja pada hari pertama penggal kedua di pejabatnya di Wisma Darul Iman, di sini.

Naib Presiden Pas itu yang kelihatan ceria turut meluangkan masa beramah mesra dengan kakitangan Pejabat Menteri Besar sebelum memulakan tugas.

Semalam, Ahmad Samsuri menerima watikah pelantikan jawatan Menteri Besar Terengganu dan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah Chendering di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang itu memulakan tugas pertamanya dengan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri bersama 10 barisan Exco yang turut dilantik semalam.

Ahmad Samsuri mula dilantik menjadi Menteri Besar kali pertama pada Mei 2018 selepas Pas berjaya membentuk kerajaan negeri hasil kemenangan di 22 daripada 32 kerusi DUN dalam PRU14.

Beliau dilantik semula jawatan itu selepas Perikatan Nasional (PN) melakar rekod cemerlang menyapu bersih kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri PRN, Sabtu lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN