PETALING JAYA: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini akan mengalihkan seluruh tumpuan mereka ke Sukan Asia Hangzhou September selepas tamat kempen di Kejohanan Badminton Dunia, Copenhagen, Denmark semalam.
Perjalanan Aaron-Wooi Yik di Copenhagen berakhir di peringkat separuh akhir selepas tumpas di tangan pasangan Korea Selatan, Kang Min-hyuk-Seo Seung-Jae dengan keputusan 21-23, 13-21.
Biarpun gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka pada edisi lalu, Aaron dan Wooi Yik tidak pulang dengan tangan kosong apabila meraih pingat gangsa, berkongsi kedudukan dengan pasangan China, Liang Weikeng-Wang Chang.
Justeru Aaron dan Wooi Yik mahu menebus kekecewan ini apabila mereka bakal menghadapi temasya Sukan Asia yang hanya tinggal kurang sebulan sahaja lagi sebelum ia membuka tirai pada 23 September depan.
“Tidak ada banyak kejutan yang dihadirkan oleh mereka (Ming Hyuk-Seung Jae) tetapi memang mereka beraksi dengan baik sekali di set pertama, sekaligus meningkatkan keyakinan mereka di set kedua.
“Saya rasa jika kami mendahului di set kedua dengan jurang tiga atau empat mata, kami perlu belajar untuk menenangkan diri sendiri, kerana kita boleh lihat kami mungkin akan memenangi perlawanan ini jika memanfaatkan peluang di set pertama tetapi kami tewas.
“Yang lepas biarkan ia berlalu, kami rasa kami akan lebih bersedia untuk Sukan Asia, saya rasa ada lebih kurang sebulan lagi, dan ia bakal menjadi sasaran utama kami selepas ini,” jelas Aaron.
Ia bakal menjadi misi besar buat Aaron dan Wooi Yik untuk cuba menamatkan penantian 17 tahun negara meraih pingat emas dalam acara beregu lelaki di Sukan Asia.
Kali terakhir ia berjaya dilaksanakan oleh Koo Kien Keat-Tan Boon Heong ketika edisi 2006 di Doha, Qatar.
Bagi Wooi Yik, kejayaan membawa pulang pingat gangsa dari Kejohanan Dunia juga menandakan mereka masih lagi antara pemain yang perlu diberikan perhatian biarpun mereka terus kemarau sebarang kejuaraan dalam saingan Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
“Saya rasa kami masih bernafsu untuk melangkah lebih jauh, khususnya kejohanan besar seperti ini dan memang kami mahu melakukan sesuatu yang membanggakan untuk negara kami.
“Kami membawa pulang pingat gangsa, tetapi hakikatnya kami tahu boleh bawa lebih daripada ini, saya minta maaf kepada semua rakyat Malaysia,” kata Wooi Yik.-UTUSAN