JERANTUT: Sebanyak 208 permohonan dokumen sijil beranak dan kad pengenalan Orang Asli setempat berjaya diproses oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang.
Pada 6 dan 7 Ogos lalu dalam program anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah membuka kaunter menerima gantian kad pengenalan, pendaftaran lewat kelahiran, sijil kelahiran dan MyKad baharu.
Timbalan Pengarah JAKOA Pahang, Ahmad Marzuki Salleh berkata, objektif program adalah untuk memberi pendedahan kepada komuniti Orang Asli di daerah tersebut mngenai kepentingan memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan untuk melayakkan mereka menerima pelbagai bantuan yang disediakan oleh kerajaan.
“Program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat Orang Asli kerana JPN menerima sebanyak 208 permohonan yang melepasi sasaran 80 permohonan di peringkat awalnya.
“Sasaran permohonan adalah di kalangan penduduk Kampung Kuala Atok dan Kampung Sungai Tekal bagaimana ia turut mendapat sambutan di kalangan penduduk kampung berhampiran.
“Situasi ini merupakan perkembangan yang baik kerana kebanyakan anak-anak mereka juga telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah.
“Kesanggupan mereka hadir membuktikan kesedaran memiliki dokumen pengenalan diri telah meningkat dan mengakui kepentingan memiliki dokumen berkaitan membantu proses menyalurkan bantuan, memohon lesen motorsikal, keluar bekerja dan sebagainya.
“Berdasarkan sambutan tersebut, pihaknya bercadang untuk meneruskan program seumpamannya pada masa masa hadapan dengan kelompok lebih kecil di lokasi yang lebih mudah di akses oleh komuniti berkaitan,” katanya.
Sementara itu Ketua Yayasan RYTHM, Santhi Periasamy berkata, pihaknya telah menjayakan pembukaan ‘Sekulah Bateq’ di Kampung Kuala Atok sejak tahun lalu yang telah memberi manfaat pendidikan asas kepada lebih 40 kanak-kanak etnik Bateq dengan bantuan daripada guru Sekolah Kebangsaan (SK) Merting.
“Saya percaya hanya dengan pendidikan mampu mengubah lanskap pembangunan ekonomi dan pendidikan Orang Asli dan menikmati kehidupan yang lebih baik berbanding sekarang.
“Sebagai lanjutan memberi peluang pendidikan, pihaknya bergandingan dengan beberapa agensi kerajaan dan masyarakat setempat sebagai langkah menggalakkan Orang Asli memperoleh dokumen diri terutama di kalangan generasi muda.
“Jika mereka mempunyai dokumen pengenalan diri, masalah keciciran pendidikan, bantuan dapat diatasi malah keyakinan juga meningkat dan mereka akan memahami hak mereka,” katanya. -UTUSAN