KOTA BHARU: Seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meraih pendapatan RM80,000 sebulan selepas menceburi bidang perniagaan sejurus tamat perkhidmatan dengan membuka kedai menyelenggara dan membaik pulih pacuan empat roda sejak lima tahun lalu.
Nik Mohd. Fahizul Nik Mohamad Mustapha,44, berkata, dia memanfaatkan pengalaman berkhidmat selama 21 tahun di dalam Kor Jurutera Letrik dan Jentera DiRaja (JLJ) untuk mengendalikan perniagaan tersebut.
Menurutnya, perniagaan tersebut dimulakan sejurus menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera sebagai Sarjan di JLJ, Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas di sini sejak Jun 2018.
“Perniagaan ini dijadikan sebagai kerjaya kedua selepas tamat perkhidmatan memandangkan saya bersara ketika berusia 39 tahun dan masih kuat untuk bekerja”,katanya kepada pemberita pada Program Peduli Veteran Peringkat Negeri Kelantan di kedai miliknya, Pejomotor Sport di Melor, di sini hari ini.
Nik Mohd. Fahizul memberitahu, dia memulakan perniagaan dengan bermodalkan sebanyak RM80,00p dengan menyewa sebuah kedai satu pintu serta dua pekerja iaitu mekanik dan kerani.
Katanya, kedai miliknya menyediakan perkhidmatan menyelenggara kenderaan pacuan empat roda termasuk menukar minyak enjin.
“Saya mengambil peluang membuka kedai menyelenggara dan baik pulih pacuan empat roda kerana waktu itu tidak ramai yang membukanya.
“Alhamdulillah, selepas setahun saya berjaya membuka satu lagi kedai menjadikannya dua pintu dan menambah tujuh lagi pekerja,”katanya.
Tambah Nik Mohd. Fahizul, setiap bulan kira-kira 80 buah kenderaan yang diselenggara.-UTUSAN