Kuih-muih tradisi direka lebih versatil

Ubah bentuk kuih-muih tradisi kepada lebih versatil

KUIH Onde-Onde Labu Kuning.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jika kalian peminat kuih-muih tradisi tentu masih ingat bentuk dan keaslian rasanya tetapi jika telah berubah reka bentuk daripada yang asli bagaimana?

“Perasaan itu sukar untuk dijawab sebab ia bergantung sejauh mana kita menyukai kuih tersebut sama ada rasa atau bentuknya. Jika dinilai melalui rasa, matlamat saya sudah tercapai namun jika bentuknya memang sudah berbeza kerana lebih versatil,” kongsi Fazidatul Laily Sokeman, 40.

Konfigurasi sesuatu objek termasuk kuih-muih akan mengembalikan ingatan kita pada zaman kanak-kanak yang sudah ada dalam kepala bagaimana rupanya.

KUIH Tepung Puli.

Misalnya bentuk Kuih Tako, Kuih Apam Beras, Kuih Telaga Emas, Kuih Tepung Puli, Kuih Nagasari dan Roti Kerca namun bagi wanita berasal dari Sungai Sumun, Bagan Datuk, Perak ini mencipta kelainan kepada bentuk lebih moden, up to date dan more presentable.

“Jika orang lain melihatnya seperti inovasi tetapi bagi saya ia karya seni yang memerlukan daya kreativiti untuk dizahirkan ke bentuk yang diimaginasikan kerana itu yang menjadi objektif.

“Inisiatif ini bermula daripada hobi kerana saya memanfaatkan kebolehan membuat kuih-muih daripada emak yang dahulu menjual kuih untuk sarapan.

KUIH Apam Durian.

Sebagai pewarisnya banyak yang saya pelajari tetapi saya bereks­perimen kepada bentuk yang lebih menarik,” katanya.

Lebih dikenali sebagai Lily Azhary, minat menukar bentuk kuih-muih katanya bermula sejak 2020 dengan mengulangkaji asas kandungan kemudian memulakan karya dalam keadaan santai dan perlahan-lahan.

“Saya akan mencari waktu yang sesuai dalam fasa tenang kerana jika tidak menjadi awalnya, proses yang sama perlu diulang. Oleh kerana apa yang saya lakukan hobi, walaupun agak mencabar dan berdebar-debar melihat hasilnya, rasa seronok dan puas hati,” katanya yang kini tinggal di Muar, Johor.

UBAH BENTUK KUIH

Menurut Lily, kuih pertama yang menerima sentuhannya, Kuih Peria yang diubah kepada bentuk sayur-sayuran dan buah-buahan.

KUIH Peria.

“Selepas Kuih Peria, saya teruja untuk mencuba kuih-muih lain pula, maka terhasillah lebih kurang 20 jenis lagi rekaan baharu. Antaranya Kuih Nagasari, Abok-abok, donat, Permata Zamrud, dadar gulung, onde-onde, roti jala dan koci pelbagai versi.

Ujarnya, meman­faatkan hobi kepada hasil yang lebih dibanggakan selepas idea melimpah melihat inovasi kreativiti cef antarabangsa mengolah seni makanan daripada marzipan dan fondant untuk kek.

KUIH Permata Zamrud.

 

“Selain itu, disokong minat idea datang daripada sumber pembacaan buku, majalah dan juga internet seperti Pinterest, Facebook dan Instagram. Saya awalnya mencari asas daripada pembacaan dan membuat sedikit kaji selidik berkenaan resepi, dipadankan dengan kemahiran dan teknik sesuatu hasil karya kuih-muih tradisi tersebut dihasilkan.

“Saya menggabungkan minat dan bakat dengan mempe­rincikan idea kreatif tanpa mengubah resepi juga rasa aslinya. Hanya daripada segi rupa dan bentuk diubah kepada lebih moden, terkini serta menarik,” kongsinya.

PROSES TIDAK MUDAH

Ditanya pengalaman sepanjang proses mengubah bentuk asal kepada yang lebih moden, Lily memberitahu kunci utama adalah kesabaran jika mahukan hasil yang diidamkan.

“Bahan asas kuih- muih tradisi lazimnya ringkas dan mudah diperoleh namun untuk membuatnya memerlukan teknik tertentu malah masa yang di ambil juga agak lama. Terutama proses penyediaan yang perlu dilakukan satu persatu serta langkah demi langkah. Memakan masa satu hingga dua jam untuk menyiapkan sesuatu jenis serta bergantung kepada kuantitinya.

“Justeru kunci utama adalah teknik dan juga kesabaran yang tinggi tetapi disebabkan minat, saya susun sahaja langkah dan patuhi prosesnya,” ujarnya.

Lily menjadikan saluran media sosial untuk mempamerkan hasil karyanya disokong bakat dalam bidang fotografi yang juga dilakukan sendiri.

“Saya mempunyai asas fotografi sewaktu sekolah menengah dan selalu berlatih untuk meningkatkan kemahiran. Ditambah pula dengan sumber informasi melalui media sosial.

“Bagaimanapun, sepanjang bereksperimen bukan semuanya cantik seperti di lensa kamera, di sebalik tabirnya juga tidak kurang hebat diuji mendapatkan yang terbaik.

“Pernah kuih yang dicuba ubah tidak menjadi. Pernah saya mencuba Kuih Nagasari dalam versi acuan, malangnya terlebih masa mengukus dan hasilnya kuih jadi lembik dan tidak cantik. Ada juga yang terlebih adunan tepung untuk membuat Kuih Peria, akibatnya kuih menjadi keras,” katanya.

KUIH Nagasari.

Akuinya dalam menzahirkan apa yang disukainya, dia sedikit kecewa apabila dikecam akibat mengubah rupa bentuk asal untuk disesuaikan dengan peredaran masa.

“Anak muda zaman sekarang sukakan sesuatu yang lebih hipster, vibrant, menonjol dan bukan asal usulnya tempatan namun ia bukan penghalang untuk saya meneruskan hobi.

“Sebaliknya ramai lagi yang menyokong apabila menerima tempahan daripada jiran tertangga dan ada juga yang menghubungi selepas saya berkongsi di media sosial.

“Kebiasaannya tempah untuk majlis hari lahir, jamuan ringkas, hantaran kahwin, dan juga cenderamata. Harganya bergantung kepada kuantiti, bahan yang digunakan juga tema mengikut kehendak pelanggan,” ujarnya.

Sebagai pengubah kuih lama kepada yang lebih menarik, kepuasan tidak terhingga dirasai apabila inovasi yang dicuba berjawya tanpa melalui beberapa siri Kegagalan.

“Saya juga berasa puas apabila kuih-muih yang sebelumnya kurang dikenali dik kerawwna bentuk dan rupanya kerana tidak memenuhi nilai komersial telah menarik hati di kalangan peminat setia kuih-muih tradisi termasuk golonga muda,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya