Tiada catuan air di Melaka, paras empangan lebih 90 peratus

Tiada catuan air di Melaka, paras air tiga empangan lebih 90 peratus

HAMEED MYTHEEN Kunju Basheer (dua dari kanan) menaiki bot ketika melawat empangan Durian Tunggal di Durian Tunggal, Melaka, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kerajaan negeri tidak akan melaksanakan catuan bekalan air kerana paras air di tiga empangan utama di negeri ini melepasi tahap 90 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, paras semasa air di empangan Durian Tunggal adalah pada 90 peratus, empangan Jus (96 peratus) dan empangan Asahan (93 peratus).

Menurut beliau, paras air berkenaan mampu bertahan sehingga November dan keadaan cuaca yang kerap hujan ketika ini membantu meningkatkan paras air takungan.

“Empangan Durian Tunggal berada pada paras 90 peratus iaitu kira-kira 28,230 juta liter air. Paras air sedia ada ini mampu mengharungi fenomena El Nino yang dijangka berakhir pada September.

“Setakat ini kita tidak ada catuan (air) dan pihak Badan Kawal Selia Air (BKSA) serta Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) telah mengambil langkah-langkah sewajarnya. Sekarang ini, tiga pam di Sungai Grisek turut mengepam 160 juta liter air sehari dan jika air turun ke paras 85 peratus, kita akan ambil langkah membuka pam keempat.

“Insya-Allah, kalau tidak ada apa-apa masalah, tiada catuan air akan dilaksanakan,” katanya ketika lawatan kerja di Empangan Durian Tunggal di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hameed memaklumkan, pelaksanaan ‘tidak boleh belok ke kanan’ di persimpangan Stadium Hang Jebat ditangguhkan untuk kajian semula.

Jelasnya, langkah itu diambil bagi memastikan penyelesaian masalah trafik di lokasi berkenaan tidak akan memberi kesan negatif terhadap kawasan di sekitarnya.

“Kita sedang buat kajian semula. Kita sebenarnya mengalihkan masalah (trafik) di persimpangan Stadium Hang Jebat, tetapi masalah lain pula akan timbul di sekitar persimpangan Krubong.

“Terdapat 700 hingga 900 buah kereta melalui simpang tersebut antara pukul 7 pagi hingga 9 pagi. Jadi pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri menangguhkan pelaksanaan yang sepatutnya bermula hari ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya