Team Some penuhi permintaan dim sum halal - Utusan Malaysia

Team Some penuhi permintaan dim sum halal

CEYLYN Tay Wei Lung menunjukkan produk dim sum halal yang dihasilkan syarikatnya, Team Some Sdn. Bhd. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bermula dengan membuka sebuah restoran berasaskan makanan tradisi masyarakat Cina iaitu dim sum pada 2018, kini pengasas Restoran Canning Dim Sum, Ceylyn Tay Wei Lung yang juga Pengarah Urusan Team Some Sdn. Bhd., berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuk Asia Barat.

Ceylyn Tay berkata, Team Some mula beroperasi menjadi pengilang dan pengeluar dim sum halal pertama di negeri ini pada 2019.

“Kami mengambil masa selama 10 bulan untuk memperoleh pensijilan Halal, Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP), Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Analisis Mudarat dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), Pemeriksaan dan Akreditasi Veterinar (VHM), Sistem Pengurusan Keselamatan Makanan (ISO22000) dan beberapa sijil lain yang mematuhi piawaian makanan standard antarabangsa.

“Dengan memiliki sijil-sijil ini, ia memudahkan produk syarikat kami untuk menembusi pasaran luar negara khususnya di beberapa tempat di Asia Barat antaranya Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman dan Kuwait.

“Selain itu, kami juga sudah memasarkan produk ke Singapura, Thailand, Hong Kong dan Melbourne, Australia,” katanya kepada RINGGIT, baru-baru ini..

Menurut Ceylyn Tay, perancangan syarikatnya pada masa akan datang ialah untuk menembusi pasaran di Brunei.

“Produk syarikat yang dipasarkan di luar negara adalah dalam bentuk makanan sejuk beku manakala di Malaysia, pengguna boleh mendapatkan produk tersebut di Restoran Canning Dim Sum dan Restoran Jom Dim Sum.

“Di Malaysia, kami hanya jual dalam bentuk sejuk beku di restoran-restoran kami sahaja,” katanya.

Ujarnya, kaedah itu adalah untuk memastikan aliran tunai syarikat berjalan dengan lancar.

Sementara itu, Ceylyn Tay berkata, restoran Canning Dim Sum dan Restoran Jom Dim Sum di seluruh negara dimiliki oleh francaisi kecuali restoran Canning Dim Sum dan Restoran Jom Dim Sum di Ipoh.

“Kami ada beberapa outlet di luar Perak iaitu Pulau Pinang, Sarawak, Kuala Lumpur, Cameron Highlands, Pahang dan Kedah yang kesemua diberi kepada francaisi.

“Restoran Canning Dim Sum dan Restoran Jom Dim Sum adalah dua jenama yang berbeza tetapi berasaskan menu yang lebih kurang sama.

“Restoran Jom Dim Sum berkonsepkan restoran makanan segera dim sum halal pertama di dunia manakala Restoran Canning Dim Sum pula berkonsepkan restoran halal dim sum yang menawarkan nilai tradisional Cina tetapi dengan pendekatan kontemporari selain menawarkan harga yang berpatutan,” jelasnya.

Menurut Ceylyn Tay lagi, syarikatnya menawarkan lebih 100 jenis pau dan dim sum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya