Suami punca nombor satu isteri kuat bebel

Suami punca nombor satu isteri kuat bebel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH 196,000 carian Google dijumpai berkaitan sebab-sebab wanita membebel.

Carian yang tinggi itu mungkin disebabkan kaum adam berdesing telinga dan terbakar hati dengan celoteh isteri mereka.

Yang peliknya, walaupun segala maklumat tersebut ada di depan mata, namun isu wanita membebel dalam institusi rumah tangga masih gagal diselesaikan hingga kini.

Bahkan, ramai lelaki yang tidak tahu kenapa suri hati mereka suka berleter.

Akhirnya, wanita juga dipersalahkan dan yang paling teruk apabila membebel dianggap sebagai sifat semula jadi kaum hawa.

Pakar Motivasi dan Kaunseling Keluarga, Dr. Robiah K Hamzah hairan kenapa persoalan itu sering ditimbulkan lelaki seolah-olah wanitalah pencetus segala masalah dalam rumah tangga dan 100 peratus bersalah.

Sedangkan, katanya, punca nombor satu wanita berleter adalah kerana suami.

“Pertama, dari segi sikap suami contohnya bagaimana layanan terhadap isteri dan anak-anak.

“Kedua pula berkaitan tanggungjawab suami adakah dilaksanakan sepenuhnya atau culas manakala ketiga adalah rasa tidak puas hati isteri terhadap suami.

“Jika suami memberi hak yang sepatutnya kepada isteri dan anak-anak di samping menunaikan setiap tanggungjawab mereka, percayalah tiada mana-mana wanita yang mahu membebel tidak tentu pasal,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Robiah turut menegaskan, tidak ada isteri yang mahu membuang masa dan tenaga dengan membebel secara berpanjangan.

Namun, katanya, tindakan itu terpaksa diambil kerana hati kaum hawa yang terluka dan terlalu banyak menanggung duka dalam perkahwinan.

“Bagi wanita, pendekatan membebel itu sekurang-kurangnya dapat memuaskan hati mereka yang tidak senang,” katanya.

BEBEL POSITIF, NEGATIF
Jelas Robiah, amalan membebel dalam kalangan isteri tidak wajar dilihat dari sudut negatif sahaja.

Katanya, kadang kala leteran itu penting bagi memulihkan dan menambah baik keadaan termasuk mengubah kelakuan buruk suami.

“Kalau suami terima intipati bebelan dan berubah sikap, maka usaha isteri boleh dianggap berjaya.

“Tetapi jika berbuih mulut isteri menegur, namun tidak diendahkan, sedikit sebanyak emosi wanita boleh koyak.

“Akibatnya, wanita mula bercakap tanpa tapisan hingga menyakitkan hati suami dan dirinya sendiri,” katanya.

Menurut Robiah, dalam Islam, berdosa hukumnya jika wanita meninggikan suara kepada suami.

Namun, katanya, urusan dosa dan pahala itu terpulang kepada penilaian Allah SWT.

“Dunia membebel ada di mana-mana, tidak kira di bandar atau kampung, muda mahupun tua.

“Jika suara kecik tidak jalan, maka terpaksalah wanita meninggikan suara mereka gara-gara sikap suami,” katanya.

Isteri bukan batu nisan
Setiap kali wanita membuka mulut, terus sahaja dicop membebel, sedangkan tidak semua kata-kata yang dikeluarkan itu berunsur leteran.

Sebaliknya, Robiah berkata, ia mungkin bersifat arahan, teguran, perintah, pesanan atau suruhan kepada suami dan anak-anak bagi melancarkan urusan di rumah.

“Kalau suami tidak boleh menilai nada suara, gaya percakapan isteri dan situasi, sudahnya semua kata-kata pasangan akan dituduh sebagai bebelan.

“Antara contoh dialog yang biasa kita dengar, emak engkau tu dah mulalah nak berleter, sedangkan isterinya hanya berpesan kepada anak-anak untuk mengangkat pinggan selepas makan,” katanya.

Soal Robiah, apakah isteri perlu menjadi batu nisan dan mengunci mulut di rumah barulah suami tenteram dan puas hati.

Katanya, suami seharusnya mempelari kemahiran memberi layanan dan memujuk isteri, selain menjadi pendengar setia suri hati mereka.

Keluar rumah tidak selesai masalah
Kebanyakan lelaki di Malaysia memilih keluar dari rumah apabila isteri mula membebel.

Mereka lebih sanggup serta seronok bersidai berjam-jam di restoran mamak daripada menadah telinga mendengar leteran dan masuk ke gelanggang perang.

Robiah berkata, tindakan melarikan diri yang menjadi amalan lelaki selama ini hanya menambahkan luka, dendam dan kesedihan isteri.

“Golongan itu boleh diibaratkan seperti orang yang tiada ilmu dan kasih sayang terhadap isteri serta keluarga.

“Isteri membebel kerana hatinya terluka dan mahukan perhatian serta pujukan. Jika suami keluar dari rumah, makin bertambah kesakitan dialami mereka,” katanya.

Kikis bahagia,rasa romantis
Menurut Robiah, bebelan yang tidak mampu memperbaiki permasalahan dalam rumah tangga merupakan perbuatan yang sia-sia dan merugikan.

Katanya, lama-kelamaan amalan itu mampu mengikis kebahagian, keakraban dan rasa romantis pasangan.

“Akhirnya, masing-masing memilih bercerai kerana mendakwa saling tidak sefahaman,” katanya.

Radio karat hilangkan stres
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Kluster Pembangunan Profesional) E-Kaunseling Perkhidmatan Awam, Dr. Rusni A. Ghani berpandangan membebel mampu mengurangkan tekanan isteri.

Katanya, bagi keluarga yang akrab, setiap leteran dianggap sebagai radio karat yang sentiasa dirindui mereka.

Bagaimanapun, katanya, jika hubungan sesama keluarga renggang, maka perbuatan itu boleh menambah lagi tekanan dialami.

“Ada kesan buruk jika bebelan mengandungi makian, cercaan, merendahkan, meremehkan, mengkritik dan sebagainya.

“Sebaliknya, jika diselitkan nasihat dan tunjuk ajar tanpa unsur negatif dalam perkataan mahupun intonasi, pada pandangan saya bebelan itu tidak akan memberi kesan jangka panjang kepada ahli keluarga,” katanya.

Rusni berkata, kadang kala membebel itu menandakan yang isteri dalam keadaan sihat dan okay.

Namun, katanya, suami perlu berwaspada jika isteri yang kuat membebel tiba-tiba bertukar pendiam kerana ia adalah isyarat perang dingin baru bermula. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya