SPNB bantu B40 miliki kediaman - Utusan Malaysia

SPNB bantu B40 miliki kediaman

PROJEK RMR oleh SPNB adalah antara projek perumahan rakyat yang menyediakan asas kediaman rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RUMAH Mesra Rakyat (RMR) merupakan program di bawah Syarikat Perumahan Negara (SPNB) yang diwujudkan untuk membantu golongan B40 dengan pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah yang tidak mempunyai rumah atau memiliki rumah yang usang.

Inisiatif tersebut membolehkan golongan berpendapatan rendah yang mempunyai tanah sendiri untuk tinggal di rumah lebih selesa pada bayaran ansuran sebanyak RM300 sebulan untuk tempoh antara 16 hingga 25 tahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Hasleen Isnin berkata, sebanyak 62,145 permohonan telah diluluskan sejak diperkenalkan pada 2002 dan 58,145 unit telah siap dibina.

Katanya, sebanyak 6,709 permohonan yang telah dinilai layak dan kini berada dalam senarai menunggu, manakala 87,687 lagi permohonan sedang dalam proses permohonan sehingga Jun tahun ini.

“SPNB telah dipertanggungjawabkan untuk membina sebanyak 15,000 unit RMR di seluruh negara menjelang 2025 menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Bagi 2023, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM358 juta subsidi bagi program RMR dan SPNB menyasarkan untuk membina sebanyak 4,250 unit menerusi peruntukkan tersebut. Pada tahun lalu, kami telah melaksanakan kira-kira 5,000 unit dan 6,900 unit pada 2021.

“Ini menjadikan SPNB dua tahun lebih awal mencapai sasaran pembinaan melebihi 15,000 unit, sekaligus menyumbang kepada empat peratus daripada sasaran keseluruhan 500,000 unit rumah mampu milik (RMM) di seluruh negara menerusi RMK-12,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam di sini baru-baru ini.

Hasleen yang mula menerajui SPNB pada 2020 berkata, pihaknya yang mempunyai lebih 5,000 kontraktor untuk pembinaan RMR mempunyai keupayaan untuk membina sehingga 5,000 unit setiap tahun.

Namun begitu, beliau berkata, jumlah rumah yang dapat dibina adalah bergantung daripada dana yang diperuntukkan oleh Kementerian Kewangan dalam Bajet setiap tahun serta dana yang diperoleh daripada bayaran ansuran oleh penerima.

Jelasnya, rumah dengan keluasan 750 kaki persegi yang berharga bermula RM75,000 itu melibatkan RM20,000 subsidi daripada kerajaan dan selebihnya dibayar oleh penerima menerusi ansuran yang mula dibayar enam bulan selepas rumah siap dibangunkan.

“Oleh itu, kami sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada kerajaan negeri dan badan tertentu untuk menawarkan pinjaman kepada permohonan yang lulus supaya SPNB dapat melaksanakan pembinaan.

“Ini membolehkan kami menggunakan semula dana tersebut untuk membina RMR yang lain supaya lebih banyak rumah dapat dibina dalam tempoh yang singkat,” ujarnya.

Tambah beliau, kerjasama dalam bentuk pembiayaan bersama kerajaan negeri sudah pun dilaksanakan di Terengganu dan Perak buat masa ini.

Dalam pada itu, penambahbaikkan juga dilakukan bagi mempercepatkan proses pembinaan iaitu kurang dari tiga bulan dan rekod pembinaan terpantas setakat ini adalah selama 25 hari.

“Perkara ini dibuat dengan menyemak semula cara pembinaan seperti membina bumbung terlebih dahulu supaya kerja-kerja pembinaan boleh diteruskan apabila cuaca hujan.

“Terdapat enam reka bentuk baharu RMR yang ditawarkan kepada pemohon bermula pada 2021.

Semua rumah ini bersaiz 750 kaki persegi dan saiz tersebut telah diselaraskan dengan saiz program perumahan bersubsidi yang lain di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT). Ini adalah bagi menyelesaikan isu kenaikan harga bahan binaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN