MASYARAKAT Cina Peranakan sinonim dikaitkan dengan negeri Melaka, Pulau Pinang mahupun di pantai Timur iaitu Terengganu dan Kelantan.
Asimilasi dengan sosiobudaya tempatan sejak ratusan tahun lalu menjadikan pertuturan, pakaian malah makanan tradisi mereka mirip orang Melayu.
Antara ciri utama sajian peranakan adalah pedas dan menggunakan banyak cili, sekali gus membezakannya dengan menu kaum Tionghua.
Kali ini Seri bawakan resipi Sotong Goreng Cili Garam ala fusion Peranakan Melaka yang cukup mudah untuk disediakan bagi sajian seisi keluarga pada hujung minggu.
Bahan-bahan sambal
- 200 gram cili merah
- 50 gram cili padi
- 30 gram bawang putih
- 300 gram minyak
- 40 gram garam
Bahan-bahan sotong goreng
- 300 gram sotong putih
- Tepung serbaguna
Cara penyediaan sambal
- Kisar kasar cili merah, cili padi dan bawang putih secara berasingan.
- Panaskan minyak dan masukkan bawang putih yang dikisar disusuli cili padi dan yang terakhir cili merah.
- Tumis bahan itu sehingga minyak keluar.
- Letakkan dalam mangkuk dan biarkan selama 30 minit
Cara penyediaan sotong goreng
- Basuh sotong dan salutkan dengan tepung serbaguna.
- Goreng secara minyak banyak.
- Kemudian curahkan sambal yang disediakan tadi pada atas sotong goreng. Tapiskan dahulu sambal untuk mengelak minyak yang banyak.
- Sedia dihidang bersama nasi putih.