PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengeluarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perlombongan unsur nadir bumi (REE) tidak lama lagi.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, SOP itu kelak akan memastikan sebarang pengeksploitasian REE dibuat secara lestari dan mampan.
Beliau berkata, pihaknya tidak mahu REE ini tidak dieksport dalam keadaan mentah dan kerajaan sepatutnya mendapat tambah nilai daripadanya.
“Ketika ini, REE mendapat permintaa tinggi di seluruh dunia lebih-lebih lagi dengan peralihan tenaga dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian terbaharu kecurian REE di Bukit Enggang, Sik, Kedah selepas polis menahan sembilan individu pada hujung bulan lalu.
Katanya, pihaknya akan turun ke bawah bagi melihat aktiviti perlombongan itu termasuk mengeluarkan dasar dari hiliran ke huluan bagi mengeksploit REE itu.
Nik Nazmi berkata, Majlis Mineral Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sudah mengarahkan kementeriannya untuk menyelaras SOP itu secepat mungkin.
Media sebelum ini melaporkan, sembilan individu termasuk empat lelaki warga Myanmar dan lima warga tempatan berusia antara 22 tahun hingga 60 tahun ditahan polis kerana mencuri 99 kilogram REE di Bukit Enggang, Sik, Kedah. – UTUSAN