PETALING JAYA: Sektor penjagaan kesihatan swasta bagi pesakit domestik dan antarabangsa diunjur kukuh berikutan permintaan yang kekal di sebalik kos perbelanjaan penjagaan kesihatan global yang semakin meningkat.
Penganalisis Kenanga Research, Raymond Choo Ping Khoon berkata, hasil sektor ini akan terus meningkat pada separuh kedua 2023, didorong kembalinya pembedahan elektif untuk prospek jangka pendek, manakala prospek jangka panjang penjagaan kesihatan swasta disokong oleh kemewahan yang semakin meningkat dan populasi yang semakin tua.
“Secara keseluruhannya, kami melihat daya tahan dan pemangkin pendapatan daripada ketiga-tiga bidang penjagaan kesihatan di bawah perlindungan kami, iaitu hospital swasta (kembalinya pembedahan elektif), farmaseutikal (kesedaran kesihatan yang semakin meningkat) dan imunoterapi (meningkatkan penggunaan sebagai kaedah rawatan kanser).
“Pilihan utama kami ialah KPJ Healthcare Berhad (KPJ) (OP; TP: RM1.50) dan KOTRA (OP; TP: RM7.00),” katanya dalam nota kajian.
Firma penyelidikan itu turut mengunjurkan pertumbuhan pemprosesan pesakit dan intensiti hasil IHH Healthcare Berhad (OP; TP: RM7.00) untuk memacu pendapatan 2023 berdasarkan
Permintaan berterusan untuk pembedahan elektif.
“Untuk 2023, kami menjangkakan pendapatan IHH bagi setiap pesakit dalam pertumbuhan 10 hingga 15 peratus berbanding 18 peratus pada 2022 disebabkan kesan asas yang rendah pada 2021.
“Selain itu, pesakit dalam pertumbuhan daya pengeluaran pada 10 hingga 15 peratus berbanding 10 peratus pada 2022 dan kadar penghunian katil (BOR) sebanyak 60 hingga 73 peratus berbanding 56 hingga 70 peratus pada 2022 untuk hospital di Malaysia, Singapura, India dan Turki,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menjangkakan daya pengeluaran pesakit KPJ meningkat 14 peratus berbanding 12 peratus pada 2022 dengan BOR sebanyak 70 peratus berbanding 58 peratus pada 2022.
“Ia didorong oleh pemulihan dalam permintaan untuk perkhidmatannya, khususnya yang tidak berkaitan dengan Covid termasuk pembedahan elektif. KPJ menjangkakan pemulihan dalam permintaan untuk perkhidmatannya dipercepatkan pada suku yang tinggal, disokong oleh permintaan terpendam untuk pembedahan elektif,” katanya.
Bagaimanapun, Raymond berkata, Pharmaniaga yang masih di bawah status PN17 pula sebaliknya.
“Kumpulan itu yakin prospek masa depannya di tengah-tengah pelan strategiknya untuk keluar daripada klasifikasi PN17 dan sedang merumuskan pelan penyusunan semula.
“Kami jangka projek pertumbuhan pendapatan tahun ini adalah pada tahap yang serupa dengan pra-Covid dengan purata RM40 juta hingga RM60 juta, dipacu oleh pesanan biasa
untuk bekalan perubatan daripada konsesi Kementerian Kesihatan.
“Kami berhati-hati kerana ekuiti pemegang saham negatif RM143 juta pada 31 Mac 2023 menghalang keupayaannya untuk menyalurkan dividen dan kerajaan mencari nilai kontrak yang lebih baik jadi Pharmaniaga mungkin perlu menawarkan kadar baharu yang lebih kompetitif,” ujarnya. – UTUSAN