IPOH: Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di sini, semalam mendapat sambutan baik daripada penduduk tempatan yang melihat penganjuran itu tepat pada waktunya demi menaikkan semangat kenegaraan dalam diri rakyat.
Bagi mereka, masyarakat ketika ini sangat dahagakan program yang berbentuk kenegaraan dan gembira aktiviti itu dapat dibuat di negeri Perak.
Seorang ketua pegawai eksekutif syarikat, Mohd. Salorwadi Mohd. Nor, 48, berkata, program sebegitu sangat penting terutama bagi mengingatkan golongan muda tentang kemerdekaan negara.
“Sejak beberapa tahun lalu, kita dilanda pelbagai musibah terutama ancaman Covid-19 yang menyebabkan program sebegini tidak dapat diadakan.
“Saya suka program ini bagi mendidik dan menyegarkan generasi baharu tentang kenegaraan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Penganjuran Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 yang diadakan itu berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini selama dua hari berakhir semalam yang dianggarkan menarik 10,000 pengunjung.
Sementara itu, seorang pakar pergigian, Dr. Nurul Qamar Binti Sallehuddin berkata, program tersebut memberi peluang kepada masyarakat tempatan untuk turut merasai sambutan bersama dengan pemimpin negara.
“Mesej perpaduan yang ditekankan penting untuk membina semangat patriotik. Saya gembira anak-anak seronok dan belajar mengenai Hari Kebangsaan,” katanya. – UTUSAN