MEMILIKI rumah sendiri yang selesa sudah tentu menjadi idaman setiap keluarga bagi membesarkan anak-anak dalam persekitaran yang positif.
Bagaimanapun, kos pembinaan rumah yang semakin meningkat dan harga rumah yang tinggi menyukarkan sesetengah golongan masyarakat terutamanya B40 untuk mencapai impian tersebut.
Pelaksanaan program Rumah Mesra Rakyat (RMR) bawah Syarikat Perumahan Negara (SPNB) sejak 2002 sedikit sebanyak telah membantu golongan tersebut untuk memiliki kediaman idaman walaupun pemohon tidak mempunyai pendapatan tetap.
Seorang peniaga kedai makan dari Raub, Pahang, Muhammad Syafiq Abdul Aziz berkata, dia gembira kerana program RMR membolehkan golongan sepertinya dapat memiliki rumah yang selesa untuk didiami oleh isteri dan anak-anak.
Dia yang merupakan penerima RMR jenis bertiang berpuas hati dengan rumah yang diterimanya kerana sesuai dengan kawasan tempat tinggalnya yang selalu dilanda banjir.
“Saya mula memohon RMR ini sejak mula berkahwin pada 2016 dan pada itu mohon untuk rumah biasa sahaja. Apabila rumah jenis bertiang ini diperkenalkan oleh SPNB, kami cuba memohon semula kerana kawasan ini memang selalu banjir kerana dekat dengan sungai.
“Kalau bina rumah di kawasan rendah, sudah tentu berisiko untuk banjir dan terpaksa tukar perabot setiap tahun. Alhamdulillah, pada 2020 permohonan kami diluluskan.
“Sebelum kami pindah masuk ke rumah ini, ada berlaku banjir tetapi tidak masuk ke dalam rumah dan sekadar di bawah sahaja,” katanya.
Sementara itu, kakitangan kerajaan dari Kuching Sarawak, Zulkifli A. Hamdan berkata, dia menerima kunci RMR pada November 2021 setelah enam tahun membuat permohonan.
Katanya, proses pembinaan rumah tersebut sepatutnya hanya dalam tempoh tiga bulan sahaja, namun akibat pandemik Covid-19 dan kontraktor perlu mengadakan kuarantin selama sebulan, menjadikan rumahnya siap dalam masa empat bulan.
“Kami memang bersyukur dan gembira dengan reka bentuk rumah ini. Sebelum ini, saya bersama isteri dan anak terpaksa menyewa rumah sahaja.
“Oleh itu, bagi golongan yang layak saya syorkan kepada mereka untuk memohon RMR ini dan tidak perlu ada pandangan negatif terhadapnya.
“Saya juga berharap, SPNB dapat meneruskan program ini supaya lebih ramai lagi rakyat yang akan mendapat manfaat daripadanya,” ujarnya.
Dalam pada itu, peniaga nasi lemak dari Tapah, Perak, Arasu Ellil Mannan berkata, RMR dengan tiga bilik dan dua bilik air amat selesa untuk enam ahli keluarga yang tinggal dalam satu rumah.
Jelasnya, SPNB mempunyai katalog reka bentuk rumah yang ditawarkan dan mereka telah mengesyorkan reka bentuk tersebut kepadanya yang sesuai untuk keluarganya.
“Perasaan saya memang terlalu gembira kerana mendapat rumah yang cantik dan besar untuk keluarga kami.
“Bagi generasi muda yang tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri kerana kos yang tinggi, mereka boleh memohon RMR ini daripada SPNB,” jelasnya. – UTUSAN