DISEBABKAN turun naik Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang tidak menentu kini, ramai yang beranggapan belum masa sesuai untuk memiliki kediaman sendiri.
Ini kerana, walaupun OPR dikekalkan dalam mesyuarat baru-baru ini, namun kenaikan faedah itu pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Mei lalu kepada 3.0 peratus memberi kesan kepada bayaran bulanan pemilik rumah.
Pekerja swasta, Siti Nor Amirah Abu Bakar berkata, dia masih belum memikirkan urusan pembelian rumah kerana keadaan ekonomi semasa yang tidak stabil, tambahan pula dengan ura-ura OPR akan dinaikkan sekali lagi tahun ini.
“Selagi ekonomi belum stabil, saya mengambil pendekatan untuk tangguh dahulu untuk beli rumah kerana komitmen lain pun sudah banyak.
“Kalau saya beli rumah sekarang dalam keadaan ekonomi tidak menentu, saya hanya menambah komitmen yang sedia ada dan takut akan lebih sukar untuk membayar ansuran bulanan rumah sekiranya OPR naik lagi,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, pekerja sambilan, Fikri Ajlan pula berkata, kenaikan OPR akan menambah bayaran ansuran rumah dan akan menjejaskan perbelanjaan bulanan yang telah diatur.
Justeru, katanya, kini bukan masa yang sesuai untuk membeli rumah kerana OPR dijangka akan dinaikkan sekali lagi pada tahun ini.
“Dengan gaji yang saya terima sekarang pun sudah seperti cukup-cukup makan kerana kebanyakan harga barang juga sudah meningkat dan menambah beban bulanan. Jadi, saya tidak fikir lagi untuk membeli rumah.
“Sudah tentu membeli rumah adalah satu keperluan kerana sampai bila kita ingin hidup menyewa, tetapi banyak lagi komitmen lain yang menjadi penghalang dalam keadaan ekonomi dunia yang suram ini,” ujarnya.
Bagaimanapun, pekerja swasta, Muhammad Izzuddin Mohd. Iskandar berpendapat, dia akan tetap membeli rumah walaupun dalam keadaan OPR yang dijangka akan naik.
“Bagi saya, harga rumah akan terus naik tidak kiralah OPR naik atau turun. Cuma, ketika OPR masih rendah ansuran bulanan tidak terlalu tinggi dan jika OPR dinaikkan nilai ansuran bulanan itu akan bertambah.
“Namun, harga rumah akan tetap naik setiap tahun kerana harga bahan binaan yang turut meningkat kerana pelbagai aspek.
“Kalau kita tidak beli sekarang kerana OPR yang dikatakan tinggi, sama juga jika kita beli di kemudian hari. Mungkin harga rumah telah meningkat berbanding harga semasa dan akhirnya bayaran bulanannya lebih tinggi,” ujarnya. – UTUSAN