Rakuten Trade Research semak naik TP Malakoff - Utusan Malaysia

Rakuten Trade Research semak naik TP Malakoff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakuten Trade Research mengekalkan penarafan ‘beli’ bagi Malakoff Corporation Bhd dan menyemak naik harga sasaran (TP) sebanyak tiga peratus kepada RM0.82 daripada RM0.80.

Dalam nota penyelidikannya, Rakuten berkata, ia mengambil kira perkembangan syarikat tersebut yang telah memuktamadkan pembiayaan bagi pembangunan tiga loji kuasa hidro kecil (SHP) bernilai RM1.22 bilion di sepanjang Sungai Galas di Kuala Krai, Kelantan.

Katanya, loji tersebut berpotensi membantu untuk mengurangkan kesan daripada persaraan kapasiti penjanaan lama Malakoff pada 2019 hingga 2027, walaupun dalam pada skala kecil.

“Malakoff mengumumkan bahawa 70 peratus unit miliknya secara tidak langsung di RP Hydro (Kelantan) Sdn. Bhd. (RPHK) telah dimuktamadkan iaitu Kemubu SHP, Kuala Geris SHP dan Serasa SHP dengan gabungan kapasiti terpasang 84 megawatt (MW).

“Projek SHP bernilai RM1.22 bilion akan mengguna pakai struktur pembiayaan hutang kepada ekuiti 80:20, dengan dibiayai daripada terbitan daripada Sukuk Wakalah SRI Hijau ASEAN bernilai RM975 juta,” katanya, baru-baru ini.

Firma penyelidikan itu berkata, dengan memuktamadkan pembiayaan tersebut, RPHK kini boleh memulakan kerja-kerja pembinaan, manakala tarikh operasi komersial dijangka pada Disember 2025.

Menurutnya, SHP ini mempunyai kadar pulangan dalaman (IRR) projek satu digit yang tinggi dengan perjanjian pembelian kuasa (PPA) selama 21 tahun.

“Kami positif terhadap projek baharu ini, walaupun kapasitinya kecil. Malakoff akan terus mencari asas pendapatan baharu selepas tamat tempoh Loji Janakuasa PD 436MW pada Februari 2019 dan Loji Janakuasa GB3 640MW pada Disember 2022.

“Selain itu, PPA untuk Loji Janakuasa Prai 350MW akan tamat pada 2024 manakala Loji Janakuasa SEV 1,303MW akan tamat tempoh pada 2027.

“Dengan mengandaikan IRR projek sebanyak lapan peratus, loji baharu (berdasarkan 70 peratus pegangan ekuiti) akan menambah 2.0 sen kepada penilaian prosedur operasi standard (SOP) kami kepada RM0.82 daripada RM0.80.

Tambahnya, Rakuten Trade Research menyukai Malakoff kerana kestabilan pendapatannya yang disokong oleh IPP, konsesi dan disokong oleh hasil dividen yang lumayan sebanyak lebih lima peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN