Pusat sehenti mudahkan mohon permit ceramah

Polis Kelantan sedia pusat sehenti mudahkan mohon permit ceramah

MUHAMAD  Zaki Harun (kanan) menyampaikan surat penghargaan kepada salah seorang daripada anggota polis pada Perhimpunan Bulanan Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini. UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Polis Kelantan akan mewujudkan pusat sehenti di seluruh Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) bagi memudahkan petugas parti untuk memohon permit-permit ceramah sempena pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini. 

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pusat berkenaan itu akan diaktifkan selepas proses penamaan calon pada 29 Julai ini.

Menurutnya, pada masa sama, pusat berkenaan turut menyediakan khidmat nasihat kepada wakil parti untuk memilih kawasan yang sesuai untuk mengadakan ceramah sekali gus mengelak berlaku pertembungan dengan parti lain.

“Setiap wakil parti hanya perlu ke pusat berkenaan untuk membuat segala permohonan permit berkaitan sebarang ceramah serta kempen.

“Kita menyediakan tempat khas ini supaya perjalanan proses berkempen berlaku dalam suasana penuh persahabatan, aman dan harmoni,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, perjalanan proses PRN kali ini dilihat lebih teratur serta meyakinkan dengan bantuan anggota dan pegawai tambahan.

Katanya, seramai 2,197 anggota dan pegawai tambahan akan ditempatkan di negeri ini berbanding permohonan yang diminta sebelum ini iaitu seramai 1,840 anggota untuk membantu memastikan PRN berjalan dengan lancar. 

“Sebelum ini, kita ada membangkitkan isu mengenai negeri bersempadan dan hasilnya kita menerima anggota tambahan untuk Op Cantas.

“Anggota dan pegawai akan berada dalam kalangan komuniti untuk membuat laporan secara terus sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki berkata, Polis Kelantan telah menerima laporan berhubung perbuatan khianat bendera dan kain rentang parti di beberapa daerah seperti di Kota Bharu, Tumpat dan Kuala Krai.

“Manakala kekecohan yang berlaku di Pasir Mas adalah disebabkan masalah dalaman parti dan diharap ia dapat diselesaikan secara baik.

“Kalau ada pergolakan dalam parti, jangan dibiarkan perkara itu merebak sehingga menggangu ketenteraman awam kerana kita akan mengambil tindakan tegas sekiranya ia berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya