PETALING JAYA: Skuad sepak takraw negara menepati ramalan melangkah ke final bagi acara regu Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai 2023 selepas menumpaskan India di peringkat separuh akhir semalam.
Regu Malaysia yang dibarisi Muhammad Syahir Rosdi sebagai tekong bergandingan dengan perejam Khairol Zaman Hamir Akbar serta apit kiri, Amirul Zazwan Amir berjaya menampilkan aksi bertenaga untuk menewaskan India 21-19, 21-13.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan skuad negara menempah pertemuan di pentas final dengan tuan rumah, Thailand hari ini yang terlebih dahulu menumpaskan Myanmar dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Pertembungan di pentas akhir hari ini, pastinya akan ditunggu peminat sepak takraw selepas Malaysia pada Sukan SEA Kemboja Mei lalu dapat memberikan saingan sengit kepada Thailand dan hampir berjaya menumpaskan raja sepak takraw dunia itu.
Bekas perejam negara, Azlan Mubin berharap regu negara dapat melakar kejutan dan dia juga merasakan inilah waktu yang sesuai untuk skuad negara membuktikan kemampuan mereka dan tidak terus dibayangi penguasaan Thailand.
“Pada Sukan SEA Kemboja, regu negara sudah ada keyakinan dan pertembungan kali ini, Syahir kena buktikan bahawa kita boleh menang dan ada kualiti. Tidak kisah siapa pun yang akan diturunkan sekali pun.
“Regu kita ada momentum yang baik, mereka serasi bersama ketika beraksi di STL dan tidak pernah tewas. Jadi, momentum ini perlu diteruskan esok. Cuma saya harap pemain elakkan kesilapan di mata-mata akhir agar tidak dihukum.
“Biasanya, suasana perlawanan ketika menentang Thailand akan lebih tertekan apabila melepasi angka 15 namun, jika kita dapat mendahului dengan jarak yang jauh itu lain ceritanya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu katanya, Thailand ketika ini juga dalam proses pembinaan semula pasukan dan ada muka-muka baharu yang diturunkan, maka ini adalah kesempatan terbaik untuk Malaysia cuba membuktikan sesuatu kepada peminat sepak takraw.
Piala Raja Thai edisi lalu menyaksikan skuad negara membawa pulang satu pingat emas menerusi acara double (regu dua sepasukan), dan dua gangsa yang hadir menerusi acara regu dan regu berpasukan.-UTUSAN