PETALING JAYA: Perak FC akhirnya meraih kemenangan sulung di bawah kendalian Yusri Che Lah selepas menewaskan Kuching City 2-1 di Stadium Negeri, sebentar tadi.
Keputusan itu merupakan kemenangan ketiga buat ‘The Bos Gaurus’ pada musim ini.
Sebaliknya Kuching City terus buntu melakar kemenangan dalam 15 perlawanan selepas kali terakhir memperolehi tiga mata pada aksi pertama, Februari lalu.
Kedua-dua pasukan bermain dengan cukup bersemangat dan saling melakukan serangan bagi memburu gol.
Begitupun, pasukan pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-12 selepas hantaran Shafizi Iqmal Md Khirudin berjaya ditanduk Luciano Guaycochea untuk menggegar jaring.
Namun, tuan rumah kembali menyamakan kedudukan hasil ledakan Abu Kamara pada minit ke-31.
Bersambung babak kedua, gol kemenangan Perak akhirnya hadir pada minit ke-80 selepas percubaan dari luar kotak penalti Seo Seonung menewaskan Shaiful Wazizi Mohammad.
Perak sepatutnya mampu memperolehi gol ketiga namun hantaran Seonung gagal disudahkan Luka Milunovic pada minit ke-82.-UTUSAN