SEBUYAU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua sebuah kapal kargo yang karam di Pulau Burung, di sini belum menemui tanda positif meskipun usaha pencarian telah dilakukan pada radius 40 kilometer dari lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata operasi SAR telah dimulakan sejak pukul 9 pagi hari ini, dan berakhir pada lewat pukul 6 petang tadi.
“Operasi bermula dengan taklimat dilakukan bersama agensi terlibat antaranya APMM, PDRM dan APM. Sejurusnya, usaha pencarian dilakukan dalam radius 40 km sekitar lokasi kapal karam.
“Selain itu, pihak bomba juga telah menjalankan pemantauan di pesisiran pantai menggunakan kenderaan utilti, manakala Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) telah tiba dilokasi dan menjalankan size up untuk memastikan kerja-kerja penyelaman selamat dijalankan,” jelasnya.
Bagaimanapun, sehingga pukul 6 petang tadi, tiada sebarang penemuan yang didapati oleh pasukan operasi SAR di kawasan berkenaan dan sekitar laut.
Justeru itu, operasi ditangguhkan ke esok hari, susulan hujan dan keadaan yang tidak selamat dikawasan berkenaan.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan sebuah kapal kargo telah karam berdekatan Pulau Burung, di bahagian Sebuyau, yang membawa sembilan anak kapal dikhuatiri lemas.
PGO Bomba Sarawak mendedahkan, empat daripada mangsa merupakan warga tempatan manakala selebihnya merupakan pekerja warga asing.
Seramai sembilan orang krew tersebut terdiri daripada empat warga Malaysia, empat orang warga Myanmar dan seorang warga Indonesia.
Ujarnya, pihwk bomba telah menerima laporan berhubung insiden berkenaan kira-kira pukul 2 petang semalam, sebelum mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan ke lokasi jeti feri Batang Lupar. –UTUSAN