Operasi mencari lapan lagi mangsa lemas kepala air diperluas 32km - Utusan Malaysia

Operasi mencari lapan lagi mangsa lemas kepala air diperluas 32km

KETUA Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mohd. Mazimi Mohamad memberi taklimat kepada anggota SAR bagi mencari lapan mangsa lemas yang masih hilang di Balai Polis Air Putih, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lapan lagi mangsa yang masih hilang dalam tragedi kepala air berdekatan Jeram Mawar, Air Putih di sini diperluaskan pada jarak seluas 32 kilometer dari lokasi kejadian hingga muara sungai Kemaman dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, sektor pencarian dipecahkan kepada tiga sektor, mengambil kira jarak mangsa pertama yang ditemukan pada jarak 25 kilometer dan mangsa kedua ditemui dua kilometer dari lokasi kejadian. 

“Zon pertama adalah dari lokasi kejadian hingga lapan kilometer, zon kedua pula adalah 15 kilometer dari Balai Polis Air Putih hingga Empangan Sungai Pinang dan bakinya hingga ke muara Kuala Kemaman adalah zon ketiga. 

“Ketika kejadian, air deras dan hujan lebat berlaku dan kita percaya air masih deras dan meningkat berikutan cuaca buruk sejak petang Ahad,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Air Putih, di sini, hari ini. 

Hanyan berkata, operasi mencari dan menyelamat hari ini disertai 163 anggota pelbagai agensi termasuk polis, Bomba dan Penyelamat, Pasukan Gerakan Am dan Angkatan Pertahanan Awam. 

“Kita juga akan turut dibantu dua ekor anjing daripada unit anjing pengesan (K9) Bomba dan Penyelamat,” ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya meminta kerjasama daripada penduduk yang tinggal di pinggir sungai untuk melaporkan segera kepada pihak polis sekiranya terlihat sebarang objek yang menjurus kepada penemuan mangsa. 

Dalam kejadian pada petang Ahad, sembilan sekeluarga serta seorang lelaki yang juga bakal menantu keluarga tersebut dikhuatiri hilang ketika berkelah susulan tragedi kepala air. 

Setakat ini, dua mangsa iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, telah ditemui kira-kira pukul 12.45 tengah hari dan 5 petang semalam.

Lapan lagi mangsa yang masih hilang iaitu suami mangsa, Karim Abdullah, 39, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman,18, Putri Alleya Maisarah Karim, 16, Putri Nor Fatin Karim,14, Putri Nurerina Natasya, 10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6 dan Putri Aryana Umaira Karim, 4. 

Seorang lagi mangsa yang turut dikhuatiri hilang ialah Muhammad Fikri Saliman, 24,  yang merupakan tunang kepada Putri Balqis Izzati. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya