SEPANG: Oman sebagai destinasi pelaburan utama Asia Barat, dengan purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah AS$4 trilion menawarkan prospek pelaburan yang unik kepada industri dan pelabur dari Malaysia.
Dalam kenyataan eksklusif kepada Utusan Malaysia, Dewan Perniagaan dan Industri Oman (OCCI) berkata, pelabur dan pengimport dari luar ditawarkan peluang menjalankan perniagaan di negara itu dengan pemilikan penuh 100 peratus.
OCCI berkata, sembilan prospek pelaburan menanti pemain industri Malaysia termasuk tenaga boleh diperbaharui, pelaburan pintar, kesihatan, pendidikan dan pengeluaran.
“Selain itu, Oman turut menawarkan potensi bisnes dari sudut logistik serta pengangkutan, pelancongan, cari gali, tenaga serta pertanian dan perikanan,” kata kenyataan tersebut.
Pada masa sama, OCCI berkata, Oman turut menawarkan kelonggaran dan kebebasan pemindahan modal dan keuntungan, malah sebagai langkah menggalakkan pelaburan, Oman tidak mensyaratkan sebarang jumlah modal minimum sebelum memulakan sesebuah perniagaan di sana.
Dalam pada itu, OCCI berkata, pelaburan ke negara itu berpotensi dipasarkan kepada 4.5 juta populasinya dengan KDNK bagi tahun 2022 berjumlah dolar AS$112.8 bilion.
“Kerajaan Oman juga menawarkan kemajuan infrastruktur bagi menggalakkan kepelbagaian sektor pelaburan.
“Ini termasuk Zon Ekonomi Khas Duqum, Salah dan Sohar. Selain itu, Kerajaan Oman turut menyediakan sembilan zon perindustrian sebagai usaha menggalakkan kepelbagaian sektor bisnes serta mengurangkan kebergantungan kepada sektor hidrokarbon,” katanya. – UTUSAN