Muda lelong lukisan, gambar cari dana PRN

Muda lelong lukisan, gambar cari dana PRN

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman menunjukkan karya lukisan yang akan dilelong bagi meraih dana untuk Muda dalam berdepan PRN. - UTUSAN/ARIF AIMAN ASROL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) membuat lelongan tiga lukisan dan tiga gambar secara terbuka bagi mencapai sasaran dana untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu sebanyak RM1.5 juta.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, langkah tersebut bagi mencukupkan sasaran dana yang setakat ini berjaya mengumpul sebanyak RM854,350.82 melalui pelbagai program dan aktiviti yang dilaksanakan partinya.

“Jumlah penyumbang adalah seramai 4,396 orang dan jumlah purata sumbangan pula sebanyak RM194.35 seorang, sumbangan bermula serendah RM5.

“Sasaran kita adalah untuk mencecah RM1.5 juta. Peratusan perbelanjaan yang kita buat, perpecahannya akan maklumkan pada kepimpinan parti,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama Muda, hari ini..

Sehubungan itu bagi mencapai sasaran tersebut, Syed Saddiq berkata, Muda akan melakukan proses bidaan secara terbuka bagi enam karya seni iaitu daripada pelukis tempatan dam jurugambar.

Dua lukisan daripada pelukis tempatan, Yusof Ghani iaitu Hijau Series-Rambah dan Kuda Series-Kilas 1, harga bidaan masing masing bermula pada RM25,000 serta RM30,000.

Harga mula bidaan untuk seni lukisan bernama Penang Art Street: Market Scene oleh pelukis tempatan, Tan Choon Ghee pula adalah pada RM8,000.

Selain itu, harga mula bidaan bagi satu daripada tiga hasil gambar daripada Ould Amer Tarik iaitu jurugambar daripada Perancis adalah pada RM2,000.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar itu berkata, negara memerlukan akta khusus bagi pendanaan politik bagi memastikan proses tersebut secara tulus dan adil.

“Ini supaya parti yang besar atau kecil tidak terhutang budi dengan golongan maha kaya. Sebab itu dalam bab ini, Muda konsisten daripada sebelum ke selepas pilihan raya mencadangkan adakan akta (bagi) pendanaan politik pilihan raya.

“Ini supaya akhirnya, kita ada proses laporan yang jujur dan adil serta memastikan bahawa tidak kira siapa pun parti yang membentuk kerajaan, mereka tidak terhutang budi hanya kepada satu atau dua golongan jutawan yang akan mendanai semua parti. Tidak kira dalam kerajaan atau pembangkang.

“Apabila siapa pun menang, mereka tetap menang kerana memonopoli akan dipancarkan,” katanya.

Tambahnya, perkara tersebut akan memberi kesan negatif kepada rakyat kerana tidak ada sistem ekonomi yang lebih kompetitif. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya