MPV mengundur rempuh taska - Utusan Malaysia

MPV mengundur rempuh taska

KEADAAN MPV jenis Proton Exora yang merempuh sebuah taska ketika mengundur di Taman Sri Chukai, Jalan Pengkalan Sir, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Tiga mangsa termasuk seorang bayi berusia setahun cedera ringan apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora yang mengundur merempuh sebuah taska di Taman Sri Chukai, Jalan Pengkalan Sir, di sini, hari ini.

Tiga mangsa yang cedera dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu ialah seorang guru taska tersebut, Nurul Ain Idris, 31, dan kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun serta bayi lelaki berusia setahun.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu warga emas lelaki berusia 72 tahun yang tinggal di hadapan taska itu hilang kawalan ketika mengundur kenderaan untuk keluar dari pekarangan kediamannya. 

Menurutnya, warga emas tersebut dipercayai hilang kawalan dan tertekan pedal minyak hingga menyebabkan kenderaannya mengundur ke belakang dan terlanggar bangunan taska di hadapan kediamannya pada jarak kira-kira lima meter. 

“Ekoran pelanggaran itu, seorang bayi dan seorang kanak-kanak asuhan taska itu cedera  badan, tangan dan kepala serta gurunya mengalami kecederaan di lutut dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Hanyan memberitahu ketika kejadian tidak ramai kanak-kanak berada di taska tersebut berikutan masih belum dihantar ibu bapa masing-masing. 

Bagaimanapun, katanya, warga emas yang merupakan pesara kerajaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya