PETALING JAYA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akur dengan kehendak Persatuan Angkat berat Malaysia (PABM) yang tidak menyenaraikan dua badang utama negara, Mohammad Aznil Bidin dan Muhammad Aniq Kasdan yang menarik diri daripada menyertai Sukan Asia Hangzhou 2023 yang dijadualkan berlangsung pada September depan.
Aznil dan Aniq tidak dapat bersama kontinjen Malaysia bagi memberikan tumpuan kepada Kejohanan Angkat Berat Dunia di Riyadh, Arab Saudi yang berlangsung serentak dengan penganjuran Sukan Asia.
Tambahan kejohanan itu menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan kedua-dua jaguh angkat berat itu sedang memburu penampilan sulung ke temasya sukan terbesar dunia tersebut.
“Pertama sekali, saya harus menghormati apa yang dirancang oleh persatuan sukan untuk atlet-atlet mereka. Kedua, kita tahu kelayakan Olimpik sangat penting untuk atlet mengutip mata.
“Mungkin kita akan rasa ada kekurangan dalam Sukan Asia, namun agenda Olimpik lebih penting. Justeru, kita akan bagi sokongan terhadap apa yang dilakukan oleh persatuan,” jelas Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria Majlis Perasmian Kejohanan Tenis Piala Billie Jean King di Kuala Lumpur semalam.
Ketiadaan beberapa atlet utama negara mungkin akan menjejaskan pungutan pingat Malaysia di Sukan Asia, namun Norza jelaskan pihaknya sedang bekerja sama dengan persatuan sukan kebangsaan memantau perkembangan semasa prestasi atlet negara bagi mencongak sasaran yang lebih realistik.
Ketika edisi 2018 di Jakarta/Palembang, kontijen Malaysia menepati sasaran untuk membawa pulang tujuh pingat emas serta 13 pingat perak dan 16 gangsa yang meletakkan mereka berada di tangga ke 14 keseluruhan.
“Buat masa ini, proses itu (mengemukakan sasaran pingat) sedang dibuat oleh ketua kontinjen dan persatuan sukan kebangsaan yang masih di tahap perbincangan.
“Mereka akan membuat satu keputusan kolektif yang akan diusulkan kepada pihak saya dan seterusnya Menteri KBS untuk kita melihat sama ada sasaran yang diletakkan itu realistik atau sebaliknya, dan kemudian ia akan diumumkan kelak,” tambah Norza.-UTUSAN