BUTTERWORTH: Modul Jualan Rahmah Bergerak yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diyakini mampu menarik lebih banyak pemain industri untuk menurunkan harga barang.
Menterinya, Fuziah Salleh berkata, inisiatif itu sekali gus dapat membantu meringankan beban pengguna berikutan harga barangan keperluan yang dijual adalah 20 sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
Jelas beliau, negara mengamalkan pasaran ekonomi terbuka dan terdapat beberapa halangan yang menyukarkan harga barangan diturunkan antaranya penetapan harga barang ditentukan pemain industri itu sendiri.
“Berbeza dengan Jualan Rahmah Bergerak, kerajaan menetapkan harga barangan yang dijual, malah rakan strategik yang mendokong aspirasi kita turut akan menawarkan harga barangan terendah buat pembeli.
“Apabila kita jumpa dengan rakan strategik yang menyokong usaha sebegini, kita akan jalinkan kerjasama dan memastikan kedua-dua belah pihak iaitu pengguna dan pemain industri menikmati situasi menang-menang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai harga barangan di Jualan Rahmah Bergerak yang ditawarkan lebih murah berbanding pasaran luar.
Terdahulu, beliau turun padang dan melawat pusat Program Jualan Rahmah di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di sini hari ini.
Pada majlis sama, Fuziah turut melancarkan Jualan Daging Rahmah yang mana daging tempatan dijual dengan harga RM27 sekilogram sekali gus membolehkan rakyat menikmati produk daging lebih murah berbanding harga pasaran.
Bekalan daging tempatan terbabit diperolehi dari ladang ternakan di Chuping, Perlis dan pelaksanaannya bakal diselaraskan di Kedah, Perak dan Perlis.
Jualan Rahmah Bergerak digerakkan di seluruh negara bermula dengan Pulau Pinang menjadi negeri pertama melaksanakan inisiatif itu pada 17 Jun lalu. – UTUSAN