Mayat kesembilan mangsa kepala air disahkan Muhammad Fikri - Utusan Malaysia

Mayat kesembilan mangsa kepala air disahkan Muhammad Fikri

HANYAN Ramlan (kanan) menenangkan Shahrizal Saliman selepas mayat kesembilan mangsa tragedi kepala air disahkan adiknya, Muhammad Fikri Saliman di Balai Polis Air Putih, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWAN NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Mayat kesembilan dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih yang ditemukan kira-kira 9.20 pagi tadi disahkan Muhammad Fikri Saliman, 24.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mayat mangsa disahkan selepas menerima laporan pemeriksaan cap jari, petang ini. 

“Selepas tujuh hari kejadian, mayat mangsa agak uzur untuk dibuat pengecaman, jadi identiti dikenal pasti melalui cap jari dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), namun keputusan ujian DNA belum diterima dan kita sahkan menerusi cap jari,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih, di sini, hari ini. 

Menurutnya, mayat Muhammad Fikri, 24, ditemukan terdampar di beting pasir, iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian oleh pasukan pencarian. 

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan masih memakai seluar dan air yang surut di kawasan itu memudahkan mangsa dijumpai. 

Hanyan berkata, mayat mangsa akan diserahkan kepada keluarga mangsa kira-kira pukul 10 malam ini untuk dikebumikan di Batu Pahat, Johor. 

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14, ditangguhkan sementara petang ini dan akan disambung esok pagi. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 hingga 6 petang pada Sabtu lalu, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang dan Muhammad Fikri dari Parit Kuda, Batu Pahat, Johor yang merupakan bakal menantu ahli keluarga itu dihanyutkan kepala air berikutan hujan lebat berlaku.

Lapan mangsa telah ditemui sejak Ahad iaitu  Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim,6 dan Putri Aryana Umaira Karim, 4. 

Sementara itu, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, iaitu tunang Muhammad Fikri dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemukan pada Selasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya