PUTRAJAYA: Malaysia ketika ini memberi fokus untuk menganjurkan Sukan SEA 2027 dan tidak berhasrat menggantikan negeri Victoria di Australia yang menarik diri sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya kini dalam persiapan untuk menyiapkan kertas kerja yang akan dibentangkan dalam Kabinet untuk memastikan negara mempunyai dana yang mencukupi.
“Apa yang kita bincangkan sekarang adalah penganjuran Sukan SEA 2027. Kita kena tahu secara mendalam mengapa Australia menarik diri, kita tidak boleh kata disebabkan Australia menarik diri, ini adalah peluang untuk kita.
“Kalau Australia tidak mampu adakah kita mampu melaksanakannya? Saya rasa ia adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab kalau saya tanpa mengkaji dulu terus buat pengumuman.
“Setakat ini memang kita tiada hasrat (untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2026,” kata Hannah ketika ditemui pemberita selepas meraikan ulang tahun ke-30 Al-Ikhsan di sini, hari ini.
Sebelum ini, Victoria dilaporkan membuat keputusan menarik diri sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026 ekoran peningkatan kos penganjuran yang tinggi.
Ketua Menterinya, Daniel Andrews berkata, penarikan diri tidak dapat dielakkan selepas beberapa masalah tidak dapat diatasi termasuk isu venue dan kewangan.
Sebagai rekod, Malaysia pernah menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.-UTUSAN ONLINE