KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur (KL) City dan Terengganu FC (TFC) sekali lagi berkongsi mata selepas terikat 3-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Sang Penyu bagaimanapun bermula garang apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-28 hasil ledakan Omid Nazari namun kedudukan itu tidak bertahan lama selepas pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco menyamakan kedudukan lapan minit kemudian.
Jaringan itu jelas menaikkan motivasi skuad kendalian Bojan Hodak apabila giliran kapten tuan rumah, Paulo Josue mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-42.
Kegembiraan penyokong KL City tidak terhenti di situ apabila Romel Morales menyumbang gol ketiga pada masa kecederaan untuk The City Boys menutup babak pertama dengan mendahului 3-1.
Memasuki babak kedua, Terengganu meningkatkan intensiti dan permainan lebih kemas.
Corak itu membolehkan pasukan pelawat merapatkan kedudukan menerusi jaringan bekas pemain Selangor, Nor Hakim Hassan pada minit ke-50.
Jaringan itu terus menyuntik semangat anak didik Tomislav Steinbruckner untuk memburu gol penyamaan dan usaha mereka berhasil apabila Ivan Mamut menyudahkan hantaran Engku Nur Shakir Engku Yacob sembilan minit kemudian.
Selepas itu, kedua-dua pasukan buntu untuk menambah jaringan sekali gus terpaksa berpuas hati dengan berkongsi satu mata.
Terdahulu pada aksi pusingan pertama Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan pada 5 Mac lalu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin turut menyaksikan mereka berkongsi satu mata apabila perlawanan berkesudahan 0-0.-UTUSAN