PASIR PUTEH: Jabatan Perikanan Malaysia akan melabuhkan 41 buah tukun tiruan bernilai RM1.31 juta di lima negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah dan Selangor pada tahun ini.
Pengarahnya Datuk Adnan Hussain berkata, peruntukan besar disediakan bertujuan membina habitat ikan dan kehidupan marin lain yang berada di perairan negara.
Menurutnya, pada masa sama ia menjadi satu usaha jangka panjang dalam meningkatkan sumber makanan negara di masa hadapan.
“Kami (Jabatan Perikanan Malaysia) sentiasa mengenalpasti perubahan dan perkembangan di kawasan tukun yang telah dilabuhkan.
“Hal ini bagi memastikan tukun-tukun itu dapat berfungsi dengan baik sekali gus memenuhi hasrat yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Melabuhkan Tukun Tiruan Konservasi yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah di perairan Tok Bali, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Adnan memberitahu, sebanyak 18 buah tukun tiruan konservasi akan dilabuhkan di perairan Tok Bali dan Kuala Besar, Kota Bharu.
Katanya, tukun yang bernilai RM660,000 bakal memberi manfaat kepada kira-kira 4,191 orang nelayan di negeri ini.
“Sejak 2007 lalu hingga kini, sebanyak 230 unit tukun tiruan telah dilabuhkan di tujuh lokasi di negeri ini iaitu Kuala Tumpat (Tumpat), Kuala Besar, Sabak (Kota Bharu), Kemasin, Pantai Irama (Bachok), Semerak dan Tok Bali (Pasir Puteh).
“Jenis tukun dilabuhkan adalah tukun dasar lembut penghalang pukat tunda (TDL PT), tukun dasar lembut (TDL) serta tukun rekreasi (TR),” ujarnya.-UTUSAN