KUCHING: Dakwaan wujud budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa segelintir pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, isu tersebut akan dibawa beliau bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan beliau sendiri (Datuk Seri Tiong King Sing) mengenai perkara ini, dan saya akan melakukan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Rabu minggu ini kita akan bawa perkara ini ke Kabinet dan sudah pasti beliau (Saifuddin) akan menjelaskan dan merujuk perkara ini dalam mesyuarat Kabinet nanti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung dakwaan berlakunya budaya rasuah dalam kalangan pegawai Jabatan Imigresen di pintu masuk negara ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Kerajaan Sarawak, di Wisma Bapa Malaysia di sini.
Ahmad Zahid berkata, isu itu boleh diselesaikan dengan baik melalui sistem pentadbiran negara sedia ada. – UTUSAN