Hasrat Selangor curi mata tak kesampaian

Hasrat Selangor curi mata tak kesampaian

PENYERANG Selangor FC Richmond Boakye pengsan seketika sambil Yazan Mousa dan penjaga gol Samuel Somerville cuba memberi bantuan pada perlawanan Liga Super menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri disini, semalam.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe nyata kecewa apabila hasrat untuk mencuri satu mata di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) tidak kesampaian ekoran tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super, semalam.

Cheng Hoe berkata, skuad Gergasi Merah telah melaksanakan tugas yang baik sebaik minit pertama, namun ketika permainan hampir memasuki 10 minit terakhir, faktor hilang konsentrasi menyebabkan gawang Selangor dibolosi hasil jaringan Heberty Fernandes yang membuat penampilan pertamanya bersama JDT.

“Mengikut perancangan adalah untuk mencuri mata di SSI namun tidak berhasil. Secara keseluruhan, saya lihat dari babak pertama kita sudah menunjukkan disiplin yang tinggi, namun kelekaan ketika perlawanan menuju masa 80 minit menyebabkan kita telah dibolosi.

“Kita tahu rangkaian serangan JDT cukup kuat dan banyak gol dijaringkan mereka di SSI. Oleh itu, kita cuba bermain lebih defensif tapi kita gagal mengatasi situasi tersebut. Untuk berdepan lawan sehebat JDT, kita tidak boleh hilang fokus.

“Saya rasa banyak pasukan yang berdepan dengan skuad Harimau Selatan menggunakan pelbagai cara dan taktikal namun masih gagal sekat JDT, jaringan gol yang dihasilkan itu membuktikan pasukan kendalian Esteban Solari ini berada pada tahap yang berbeza,” katanya.

Keputusan perlawanan itu menyaksikan penyandang juara liga sembilan musim berturut-turut semakin jauh di hadapan selepas mengutip 54 mata menerusi 18 perlawanan, 14 mata mengatasi Selangor yang memperoleh 40 mata daripada 19 perlawanan di kedudukan kedua.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu berkata, kecederaan yang dialami Richmond Boakye-Yiadom sedikit sebanyak merencat percaturannya selain menjejaskan jentera serangan untuk berfungsi sehingga memaksanya mengubah perancangan dengan bermain bertahan.

Katanya, kekalahan itu tidak merentap semangat juang anak buahnya yang akan bangkit dan berusaha lebih gigih mengharungi tujuh baki perlawanan dalam misi menamatkan saingan Liga Super di tempat kedua, sekali gus merebut slot automatik ke kejuaraan Piala AFC pada musim depan.

“Sebagai jurulatih, saya tak rasa terlalu panik dengan keputusan itu kerana yang penting adalah persiapan pasukan bagi baki perlawanan yang akan datang. Fokus utama kami ialah peningkatan untuk setiap individu dan pasukan bagi mencapai misi kekal di tempat kedua dalam liga.

“Kehilangan Faisal Halim (yang dikenakan penggantungan empat bulan) sedikit sebanyak menjejaskan corak permainan pasukan tetapi ialah biasa dalam bola sepak apabila pasukan kehilangan pemain dalam tempoh panjang akibat kecederaan dan sebagainya.

“Kita kena bijak cari alternatif lain untuk perkara ini. Pada malam ini kita lihat Mukhairi Ajmal Mahadi bermain dengan baik pada perlawanan ini dan mampu di posisi yang ditinggalkan Faisal walaupun pertama kali bermain di posisi ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya