Dicerai suami kerana lahir bayi cacat

Dicerai suami kerana lahir bayi cacat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Manusia tidak diuji di luar batas kemampuannya.

Bagi mereka yang mampu mengambil hikmah dalam setiap kejadian yang ada dan selalu bersyukur maka akan mampu melewati ujian-ujian kehidupan ke depannya.

Demikian jugalah dengan ketabahan Anis (bukan nama sebenar) yang diuji dengan kegagalan rumah tangga selepas melahirkan bayi cacat.

Katanya, kesedihan itu tetap ada namun dilenyapkan apabila dia reda dengan ketentuan ditetapkan oleh Allah SWT.

Dalam kiriman emel kepada saya baru-baru ini, tulis Anis, dia dan Kamal (bukan nama sebenar) mendirikan rumah tangga atas dasar cinta dan direstui orang tua pada pertengahan Ogos 2007.

Pada awal perkahwinan, segalanya baik-baik sahaja.

Kamal seorang suami yang penyayang dan bertanggungjawab.

Anis juga diterima baik dalam keluarga Kamal terutama daripada kedua-dua ibu bapa mentua serta ipar duai.

Mereka melayannya dengan baik.

Namun segalanya berubah selepas kehadiran Zulaika, cahaya mata pertama mereka setahun selepas berumah tangga.

Zulaika bukan hanya dilahirkan cacat penglihatan, tetapi juga memiliki bibir sumbing.

Bekas suami tidak dapat menerima keadaan Zulaika dan menyalahkannya kerana membawa malu kepadanya serta seluruh keluarga.

Anis juga menceritakan bagaimana ibu mentuanya langsung tidak menyentuh Zulaika selepas mendapat tahu keadaan Zulaika.

“Saya tidak menyangka sama sekali, ibu mentua yang nampak baik dan alim tidak menerima apa yang ditakdirkan kepada cucunya.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Ketika ramai wanita gembira bergelar ibu , Anis terus ‘berperang’ dengan emosi.

Dia bukan sahaja terpaksa menahan telinga daripada sindiran dan cemuhan jiran tetangga kerana memiliki anak istimewa tetapi juga daripada keluarga bekas suami.

Katanya, menepis dugaan bukan semudah menutup telinga jika hinaan itu datang daripada keluarga sendiri.

Bagaimanapun, dia tidak peduli dengan penerimaan suami dan keluarga mentuanya.

Sebaliknya, tetap melihat Zulaika cukup sempurna dan anugerah terindah daripada Allah SWT.

Tidak cukup dengan itu sahaja, selepas Anis habis pantang ibu mentua mendesak Kamal agar menceraikannya.

Episod duka Anis berlarutan ketika usia Zulaika mencecah enam bulan. Ibu mentua memperkenalkan seorang wanita untuk dijodohkan dengan Kamal.

Hanya Allah SWT tahu perasaannya ketika itu.

Dia sukar membayangkan ibu mertua yang sebelum ini bersikap baik sanggup memperlakukannya sedemikian rupa.

Katanya, demi menjaga hubungan anak dan ibu dia akur dan setuju dengan permintaan bekas ibu mentua.

“Bohong kalau kata saya tidak sedih sebaik mula-mula mendapat tahu suami ingin berkahwin lain. Namun apa pilihan yang saya ada ketika itu selain bersetuju,” tulisnya.

Kongsinya, dia lebih memikirkan nasib mereka dua beranak yang masih bergantung kepada bekas suami.

Jauh di sudut hati Anis juga berharap, tindakan itu juga boleh melembutkan hati bekas suami menerima Zulaika daripada benih sendiri.

Namun ujarnya, apa yang berlaku tidak berjalan seperti diharap.

Kesediaannya untuk hidup bermadu bagaimanapun tidak dipersetujui wanita berkenaan.

Bakal isteri bekas suami meletakkan syarat agar menceraikan isteri pertama kerana enggan berkongsi kasih.

Pada awalnya, bekas suami tidak bersetuju namun disebabkan campur tangan dan desakan ibu mentua akhirnya Anis dilepaskan dengan talak satu.

Bukan semua wanita tabah bergelar janda. Demikian jugalah Anis yang sebelum ini bergantung hidup kepada bekas suami.

“Awalnya, semua terlalu sukar tetapi saya perlu kuat dan cekal demi anak. Bagi mencukupkan keperluan, saya perlu bekerja menyara keluarga,” tulis Anis.

Berkongsi pengalaman membesarkan anak istimewa, kata Anis terlalu banyak cabarannya.

Katanya, jika tidak dikendalikan dengan baik akan menyebabkan tekanan.

Apalagi ibu sepertinya yang membesarkan anak syurga itu sendirian.

Zulaika memerlukan perhatian yang lebih berbanding kanak-kanak normal disebabkan keperluannya yang berbeza daripada aspek pemulihan dan hubungan dalam masyarakat.

Anis kata, atas nasihat seorang teman, dia mendaftarkan Zulaika dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mencecah usia lima tahun, Zulaika dihantar menyertai Program Pemulihan Dalam Komuniti untuk diberi pemulihan dan pembelajaran.

“Alhamdulilah sejak dihantar ke sekolah pendidikan khas potensinya dapat dicungkil dan berupaya menguruskan diri sendiri,” ujarnya lagi.

Pengalaman hampir 15 tahun menjaga Zulaika sudah cukup menyuburkan sifat kental dan sabar dalam dirinya.

Tambah Anis, dia tidak pernah terkilan dengan apa yang berlaku dalam hidupnya dan menganggap ada hikmah disebaliknya.

Ditanya mengenai bekas suami, kata Anis dia sudah tidak mengambil tahu hal berkaitan lelaki itu.

Sejak diceraikan, lelaki itu telahpun memutuskan hubungan dengan mereka dua beranak.

Usahkan bertanya khabar, jauh sekali memberi nafkah.

“Saya sudah lama memaafkannya. Allah bukan hanya menguji insan istimewa ini, tetapi juga menguji diri dan kesabaran kita bagaimana menyantuni mereka dengan baik,’’ tulisnya.

Dalam Islam sendiri tidak pernah menyisih atau mengasingkan golongan ini.

Bahkan terdapat banyak gesaan di dalam al-Quran yang memberi perhatian kepada mereka.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Fath ayat 17: Tidaklah menjadi salah kepada orang buta dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit ( tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya).

Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya akan dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai dan sesiapa yang berpaling ingkar, akan diseksa dengan azab yang tidak terperi sakitnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya