PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi Muafakat Nasional, Datuk Zuraida Kamaruddin mengingatkan DAP supaya tidak bersikap melempar batu sembunyi tangan dalam isu berkaitan perletakan jawatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini.
Beliau mendakwa, sikap DAP yang tidak ikhlas dalam menyokong pentadbiran kerajaan selama 22 bulan diketuai Dr. Mahathir adalah penyumbang kepada kejatuhannya.
Katannya, jika tekanan tidak diberikan kepada Dr. Mahathir, ia tidak menyebabkan beliau meletak jawatan.
“Pada tarikh 10 Mei 2019, Veteran DAP, (Tan Sri) Lim Kit Siang menyatakan di dalam pentas ceramah Pilihan Raya Kecil Sandakan bahawa beliau sendiri akan meletak jawatan sekiranya Dr. Mahathir tidak menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dengan segera.
“Ini adalah antara bukti utama yang memperlihat niat sebenar DAP yang sememangnya tidak ikhlas di dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas kemenangan besar gabungan parti itu pada tahun 2018.
“Kenyataan daripada pemimpin DAP paling berpengaruh pada ketika itu telah menyebabkan banyak pihak di dalam gabungan PH merasa tidak selesa dan mula mempertikaikan niat sebenar DAP,” katanya menerusi satu kenyataan.
Terdahulu, Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP menyangkal dakwaan Dr. Mahathir bahawa Anwar dipaksa mengikut manifesto DAP disebabkan pengaruh parti tersebut ke atas Kerajaan Perpaduan.
Menteri Pengangkutan itu mengingatkan Dr. Mahathir bahawa bekas Ahli Parlimen Langkawi itu sebelum ini mendapat sokongan 42 ahli Parlimen DAP ketika beliau memerintah buat kali kedua.
Isu ini tercetus apabila Dr. Mahathir mendakwa Perdana Menteri terpaksa mengikut manifesto DAP yang ingin menjadikan Malaysia sebagai negara pelbagai kaum dan agama rasmi Islam digantikan dengan sekular.
“Ya. DAP cuma ada empat Menteri. Tetapi dalam kerajaan terdapat empat puluh 40 ahli DAP (Ahli Parlimen). Jika DAP tarik diri, kerajaan Anwar akan jatuh.
“Sebab itu Anwar terpaksa turut manifesto DAP khusus menjadi Tanah Melayu negara berbagai kaum dan agama rasmi Islam diganti dengan negara sekular, negara yang tidak ada agama rasmi. Maka tergugurlah keahlian Malaysia dalam OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam),” dakwa Dr. Mahathir. – UTUSAN