Dadah psikoaktif jadi ramuan cecair vape?

Dadah psikoaktif jadi ramuan cecair vape?

PENGGUNAAN VAPE dIkhuatiri menyebabkan kesan khayal yang lebih,. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 800 dadah psikoaktif baharu atau new psychoactive substances (NPS) dipercayai digunakan dalam cecair rokok elektronik (vape) yang boleh memberi kesan khayal.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia (MASAC), Raja Azizan Ismail berkata, kesempatan itu digunakan oleh pengedar NPS berikutan ramai belia kini lebih gemar menghisap vape berbanding rokok.

Katanya, situasi itu mengakibatkan berlaku peningkatan penggunaan bahan kimia berbahaya dan mengkhayalkan dalam kalangan belia tetapi gagal dikesan oleh pihak berkuasa.

“Ada 800 lebih NPS. Makna­nya ada bahan dadah yang mengkhayalkan tidak digazet sebagai dadah dalam negara kita, sekiranya ada individu yang mengambilnya untuk khayal, kita tidak dapat kesan.

“Salah satu penyumbang besar angka penyalahgunaan dadah adalah perkara ini. Kita terbelakang dalam usaha menangani masalah dadah ni. Seolah-olah ia bukan lagi ancaman pada negara,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Raja Azizan berkata, penggunaan NPS sukar dikesan walaupun menerusi saringan ujian air kencing.

“Kesan dan impak penggunaan NPS ini sama macam dadah-dadah lain seperti metham­phetamine, ganja dan heroin tetapi sukar dikesan. NPS ini boleh dibuat seperti buat cocktail iaitu mereka campur mengikut apa pengguna mahukan.

“Sekiranya nak rasa ganja, jadi mereka campur sehingga dapat kesan yang sama seperti penggunaan ganja,” katanya.

Sehubungan itu, Raja Azizan menyarankan kepada kerajaan supaya mewajibkan syarikat-syarikat pengeluar cecair untuk vape menyenaraikan kandungan dalam produk mereka untuk mendapat pengesahan.

“Mana-mana syarikat pengeluar cecair tersebut yang tidak mahu mengemukakan senarai bahan dalam produk mereka, kerajaan wajar merampas produk mereka supaya apa-apa yang meragukan tidak sampai ke pengguna,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga perlu mencari solusi lain selain melakukan pe­nangkapan khususnya kepada golongan belia yang hanya mencuba bahan-bahan berkaitan dadah.

“Penagih dadah ini kalau kita kurung lima tahun sekalipun, mereka keluar akan hisap balik sebab otak mereka sudah ‘rosak’. Jadi perlu mencari cara baharu dalam memberi ilmu supaya mereka tidak mengulangi perbuatan

mereka,” katanya.

Tambahnya, penagih dadah yang benar-benar ingin berhenti biasanya takut untuk ke hadapan dan berjumpa dengan pegawai-pegawai bertanggungjawab untuk meminta nasihat serta pertolongan kerana bimbang ditangkap.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya