KUALA TERENGGANU: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Datuk Mohd. Sabri Alwi terharu apabila masih terdapat poster kempennya ketika bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu masih kekal ditampal di salah sebuah rumah pengundi di Kampung Bukit Kecil, di sini.
Beliau yang bertanding dalam DUN sama ketika PRU14 berkata, sokongan kecil seperti itu sangat bermakna buat dirinya untuk kembali menggalas cabaran bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.
Beliau yang terkenal dengan panggilan mesra Mat Kerok berkata, poster tersebut didapati masih sempurna dan tidak koyak, sama seperti mula-mula ditampal lima tahun lalu.
“Saya cukup terharu melihat poster kempen lebih lima tahun lalu masih kekal tertampal di rumah seorang pengundi ketika berkempen rumah ke rumah penduduk di dalam DUN Ladang. .
“Tak dapat nak gambarkan perasaan saya, rasa kelu dan sebak apabila ternampak poster tersebut kekal di dinding rumah tersebut.
“Lebih sebak penghuni rumah itu memberitahu dia tidak akan membuang poster tersebut kerana mahu mengenang budi atas jasa baik dan sumbangan saya selama ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Pada PRU-14 lalu, beliau tewas tipis 363 undi kepada calon Pas iaitu Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dalam pertandingan tiga penjuru di DUN Ladang.
Ketika itu, Tengku Hassan memperoleh 8,201 undi menewaskan Mohd. Sabri (7,838) dan Datuk Zulkifli Mohamad daripada Parti Keadilan Rakyat (2836).
Tambah Mohd. Sabri, sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, masyarakat di DUN Ladang tidak asing lagi buat dirinya dan berharap mereka akan memberi kepercayaan untuk dirinya menjadi wakil rakyat di kawasan itu.
“Insya-Allah, jika diizinkan Allah SWT selepas ini, saya akan berkhidmat dengan sebaik mungkin untuk semua warga DUN Ladang yang sentiasa ada ketika kami dalam keadaan susah dan senang,” ujarnya. – UTUSAN