ORANG ramai sudah sedia maklum tentang kebaikan dan keburukan membeli rumah. Bagaimana pula dengan membeli tanah? Sekiranya anda mempunyai duit lebih atau kredit yang boleh digunakan untuk membeli tanah, adakah anda melakukannya? Persoalannya adakah ia idea yang baik atau tidak?
Pengasas Financial Faiz, Faiz Azmi berkongsi pandangan adakah berbaloi untuk seseorang itu membeli tanah atau lebih baik fokus kepada membeli rumah sahaja.
Tujuan membeli tanah
Membeli tanah ini sifatnya agak romantik kerana kebiasaannya orang membeli tanah kerana dia sukakan sesebuah kawasan, kelapangan dan rumah yang tidak berhampiran dengan jiran-jiran.
Orang yang membeli tanah juga biasanya akan membina rumah banglo di mana mereka akan ada lebih banyak privasi.
Namun, ada juga yang membeli tanah kerana mahu ‘cop’ supaya orang lain tidak dapat membeli tanah itu di masa depan ataupun untuk tujuan pelaburan.
Sebab seterusnya ialah, untuk tujuan persaraan di mana setelah umur mencecah 55 atau 60 tahun, pesara itu ingin berpindah dan tinggal di kawasan pilihannya.
Sebab-sebab ingin membeli tanah itu tidak salah, namun membeli tanah terdapat cabarannya tersendiri.
Berdasarkan pengalaman sebagai broker gadai janj (pertemukan orang yang mahu ambil pinjaman ataupun pembiayaan dengan bank), ramai juga orang yang bertanya tentang pembelian tanah, cuma jumlahnya kurang berbanding yang ingin membeli rumah.
Sekiranya membeli rumah, pemaju akan menawarkan banyak rebat dengan pinjaman sebanyak 90 peratus.
Namun untuk pembelian tanah, sebelum pandemik Covid-19, terdapat bank yang memberi margin pembiayaan sehingga 85 peratus tetapi kini mungkin diberi dalam 60 peratus sahaja.
Itu bermaksud, jika harga tanah itu RM500,000 anda sebagai peminjam cuma dapat 60 peratus daripada RM500,000 itu sebagai pinjaman dan 40 peratus lagi anda perlu bayar sendiri.
Kebanyakan orang tidak mempunyai tunai sebanyak RM200,000 jadi mereka tidak akan membeli tanah.
Selain itu, kadar faedah bank ke atas pinjaman tanah adalah lebih tinggi daripada pinjaman perumahan.
Sebagai contoh, sekiranya kadar faedah rumah sekarang ini sebanyak 3.0 peratus, kadar faedah tanah akan mencecah 4.0 peratus terutamanya apabila Bank Negara Malaysia menaikkan lagi kadar dasar semalaman (OPR).
Sekiranya OPR turun atau naik, bank-bank di Malaysia di mana anda membuat pinjaman itu akan turun atau naikkan kadar asasnya. Justeru, kadar pinjaman untuk rumah anda itu akan berubah mengikut perubahan OPR.
Jadi, dari sudut untuk membeli tanah itu pun dah agak susah dengan pembiayaan margin rendah, deposit serta pembayaran setem duti dan lain-lain yang perlu dibayar.
Semua ini perlu dibayar seperti mahu membeli rumah subsale termasuk kadar faedah yang tinggi.
Seterusnya, pegangan pinjamannya yang pendek juga akan menimbulkan masalah kerana paling panjang tempohnya adalah sehingga 30 tahun sahaja.
Jadi, apabila anda gabungkan bunga yang tinggi dan juga pegangan pinjaman yang pendek, ansuran bulanan akan menjadi lebih tinggi dimana ia akan mengganggu aliran tunai anda.
Orang ramai perlu tahu, walaupun tanah terhad di Malaysia, ia akan tetap ada jadi tidak perlu terburu-buru untuk membeli tanah jika aliran tunai belum cukup baik.
Semua tanah naik harga ke?
Tidak semua tanah akan naik harga. Harga tanah tidak dijamin naik dan terdapat tanah yang harganya akan naik sangat lambat.
Saranan saya, janganlah beli tanah semata-mata jika duit yang perlu digunakan untuk membeli tanah itu sebagai contoh sebanyak RM500,000, anda kena bayar deposit RM200,000 dan RM300,000 anda perlu membuat pinjaman.
Daripada membeli tanah, lebih baik anda gunakan tunai RM200,000 itu untuk melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB), tabung unit amanah atau mata wang kripto kerana sekurang-kurangnya duit itu akan berkembang.
Jika bercakap tentang tanah, satu-satunya cara anda untuk mendapatkan pulangan adalah dengan pulangan modal.
Maknanya, harga tanah itu naik tetapi kalau anda beli tanah itu kerana mahu membuat rumah di atas tanah itu memang tidak boleh berundur lagi.
Memang tanah itu boleh dijual balik, tetapi susah. Kalau tahu mahu jual balik lebih baik tidak membeli tanah itu sejak awal lagi.
Tanah juga tidak ada yang boleh disewa, jadi daripada anda membeli tanah itu dengan harapan harganya akan naik, lebih baik lakukan pilihan pelaburan yang lain.
Namun, sekiranya anda telah membuat kajian tentang tanah tersebut dan yakin ia dapat memberi pulangan yang baik, tiada masalah untuk meneruskan pembelian itu.
Jadi, anda patut membeli rumah atau tanah? Itu anda harus tepuk dada dan tanya selera.
Anda yakin ke tanah itu akan naik harga? Kerana jika ia tidak akan naik harga lebih baik anda menyimpan duit di tempat lain terlebih dahulu.
Sekiranya harga tanah itu tidak naik ataupun naik sedikit sahaja, saya sarankan untuk tidak membeli tanah itu.
Anda boleh jamin akan cinta tanah tu dalam tempoh 20 tahun lagi? Bila anda terhimpit dengan pinjaman perumahan atau tanah yang besar-besar ini, ia akan lebih menyusahkan hidup, jadi fikir masak-masak sebelum membuat keputusan.
INFO:
Masalah bila membeli tanah:
– Margin pembiayaan rendah
– Kadar faedah pinjaman tanah tinggi
– Tempoh pegangan pinjaman yang pendek
– Harga tanah tidak dijamin naik
– Tanah tidak dapat disewakan