MARANG: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar akan dicabar calon Perikatan Nasional (PN), Suhaimi Sulaiman di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Pengumuman nama dua calon itu dilakukan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Ru Rendang, Lizan Che Mat.
Sebelum itu, penyandang DUN Ru Rendang itu yang diiringi pencadang , Wan Nelang Abd. Rahman dan penyokong, Aziz Mohamed tiba di Pusat Penamaan Calon di Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Marang di sini pada pukul 9.15 pagi.
Terdahulu, Ahmad Samsuri yang berbaju Melayu putih diarak lebih 2,000 penyokong sejauh kira-kira satu kilometer dari Pejabat DUN Ru Rendang.
Dalam pada itu, Suhaimi daripada Parti Amanah Negara (Amanah) yang diarak lebih 100 penyokong tiba di pusat penamaan calon itu pada pukul 8.40 pagi.
Suhaimi yang merupakan seorang ahli perniagaan diiringi pencadang, Marina Endut dan penyokong, Mazlan Sulong.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, Ahmad Samsuri menang dengan majoriti 6,028 di kerusi DUN Rhu Rendang mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Nik Dir Nik Wan Ku yang mendapat 7,823 undi. – UTUSAN