SUBANG JAYA: Juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemenang pingat emas Sukan Komanwel, Ng Joe Ee dinobatkan selaku Olahragawan serta Olahragawati kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara 2022 di sini, semalam.
Anugerah tertinggi sukan negara itu disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan disaksikan oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Aaron Chia-Wooi Yik yang merupakan beregu badminton No. 1 negara mencipta sejarah merangkul gelaran dunia selepas menumpaskan pasangan Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dalam perlawanan akhir beregu lelaki Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun pada Ogos tahun lalu.
Kejayaan itu cukup manis buat pasangan yang kini menghuni ranking No. 4 dunia itu dengan menjadi pemain pertama Malaysia memenangi kejuaraan dunia (untuk semua acara).
Mereka bertarung dalam aksi mendebarkan untuk menjinakkan cabaran Ahsan-Hendra 21-19, 21-14 bagi muncul juara di pentas terbesar dalam sukan badminton itu.
Bagi merebut anugerah Olahragawan, Aaron-Wooi Yik turut bersaing dengan calon-calon lain iaitu atlet bina badan, Datuk Syarul Azman Mahen Abdullah dan dua atlet angkat berat, Aznil Bidin serta Aniq Kasdan bagi membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM20,000.
Sementara itu, atlet gimnastik berirama, Joe Ee yang merangkul dua pingat emas dalam aparatus bola dan riben pada Sukan Komanwel di Birmingham tahun lalu, melayakkannya menggondol anugerah berprestij tersebut.
Hanya berusia 17 tahun, Joe Ee mengulangi sejarah yang pernah dilakukan Amy Kwan ketika bergelar atlet gimnastik pertama memenangi anugerah itu pada 2018.
Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu menerima tentangan hebat daripada ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong yang pernah memenangi anugerah Olahragawati Kebangsaan empat kali, selain dicabar oleh Nur Dhabitah Sabri (terjun), Nur Ain Syuhada Asri (petanque) serta juara muaythai dunia, Nur Amisha Azrilrizal.
Untuk Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik, Cheah Liek Hou (pemenang pingat emas Kejohanan Badminton Dunia Para 2022) dan Lim Carmen (pemenang pingat emas acara renang kuak dada SB8 Sukan Para Asean 2022) diumumkan sebagai pemenang kategori tersebut.
Skuad hoki lelaki kebangsaan pula menerima anugerah bagi kategori berpasukan lelaki kebangsaan dan beregu badminton wanita, Pearly Tan-M. Thinaah untuk berpasukan wanita kebangsaan.
Untuk anugerah jurulatih terbaik, menjadi milik A. Arulselvaraj (hoki) dan Beh Lee Wei (ping pong), manakala, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad dipilih sebagai Tokoh Sukan Kebangsaan.
Bagi anugerah Kepimpinan Sukan diberi kepada Profesor Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said (FAM) dan seramai empat orang menerima Anugerah Khas iaitu Desmond David dan Ann Marie David (ibu bapa Datuk Nicol), Datuk Fauzi Omar (bekas Presiden SAM), Ahmad Merican Othman (Kementerian Pendidikan) dan Soh Wai Ching (atlet larian menara).-UTUSAN