KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menubuhkan dua taman perindustrian baharu di kawasan seluas antara 30,000 hingga 40,000 ekar bagi merancakkan lagi pertumbuhan industri di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, cadangan mewujudkan taman perindustrian itu telah dibawa ke dalam mesyuarat Kabinet dan kini, masih dalam proses untuk mengenal pasti tanah bersesuaian.
Beliau berkata, Kabinet telah memutuskan untuk menubuhkan taman perindustrian di Kimanis dan juga di kawasan antara Kota Marudu dan Kota Belud. Di Kimanis akan dibangunkan taman perindustrian minyak dan gas Manakala, di lokasi antara Kota Marudu-Kota Belud sebagai taman perindustrian seperti di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).
Katanya, penubuhan taman perindustrian baharu itu perlu dilakukan susulan dua taman perindustrian sedia ada iaitu Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip) dan KKIP telah penuh.
“Maka, saya telah mencadangkan kepada Kabinet untuk membuka taman perindustrian baharu bagi menarik kemasukan pelabur ke Sabah.
“Pembukaan taman perindustrian baharu itu akan menarik kemasukan lebih ramai pelabur memandangkan lokasi Sabah sangat strategik dan hampir dengan China, Korea dan Jepun. Malah, melabur di Sabah jauh lebih murah,” katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.
Menurut beliau, sepanjang tempoh lebih dua tahun kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memerintah, Sabah telah menerima lebih 33 nilai pelaburan dari dalam dan luar negara. Ia sekali gus akan memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata, kerajaan negeri bersedia untuk membayar semula tanah yang akan dikembalikan oleh kerajaan Persekutuan mengikut kadar yang dibayar semasa tanah tersebut diserahkan kepada Persekutuan.
Ia seiring dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang menyatakan kerajaan Persekutuan bersetuju mengembalikan semula 55 daripada 224 lot tanah yang telah diperoleh daripada kerajaan Sabah dan Sarawak seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Daripada jumlah 55 lot tanah itu, 53 lot adalah di Sarawak dan dua lot di Sabah yang kebanyakannya dibeli kerajaan Persekutuan sejak 30 tahun lalu.
Hajiji berkata, dalam mesyuarat Sekretariat MA63 juga telah dinyatakan mana-mana tanah yang diberikan kepada kerajaan Persekutuan tapi tidak dibangunkan maka, tanah itu perlu dikembalikan semula kepada negeri.-UTUSAN