KUALA NERUS: Seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) ditemukan dalam keadaan rentung setelah rumah didiaminya hangus dalam kebakaran di Kampung Gong Datuk dekat sini, hari ini.
Mayat mangsa, Senik Abdullah, 60, ditemukan di dalam sebuah bilik di rumah tersebut setelah kerja pemadaman api selesai dilakukan kira-kira pukul 12.20 tengah hari tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd. Khairiri Mat Resad berkata, rumah jenis separuh kekal itu hangus kira-kira 90 peratus akibat kebakaran tersebut.
“Kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.01 tengah hari dan tiba tiga minit kemudian dengan kekuatan 28 pegawai dan anggota dari tiga buah balai bomba.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati api marak dan sebahagian struktur rumah juga telah runtuh menyebabkan kerja-kerja menyelamat mangsa tidak dapat dilakukan.
“Mayat mangsa ditemukan di dalam sebuah bilik sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Difahamkan, mangsa keseorangan di rumah kerana lima ahli keluarga yang tinggal bersama keluar membawa adik mangsa berusia 52 tahun mendapatkan rawatan susulan di klinik berhampiran.
Sementara itu menurut jiran mangsa, Zakaria Mat, 66, dia dikejutkan dua bunyi letupan kira-kira pukul 11.50 pagi ketika sedang berada di rumahnya yang hanya berjarak 10 meter.
Menurutnya, kejadian berlaku dengan pantas sebelum dia mendapati api marak dengan cepat dan dinding rumah mangsa hampir runtuh menghempap bahagian tepi rumahnya.
“Ketika letupan pertama, saya melihat ke luar namun tidak menemui sebarang tanda-tanda kebakaran namun sebaik letupan kuat kali kedua, saya dapati api sudah besar.
“Beberapa penduduk kemudian mulai cemas lalu menghubungi pihak berkuasa. Ketika itu baru saya teringat ada wanita OKU yang berada di dalam tetapi saya tidak pasti keadaannya.
“Usaha penduduk untuk cuba masuk ke dalam rumah itu tidak berjaya kerana api terlalu marak dan panas sehinggakan tingkap rumah saya juga pecah,” tambahnya. – UTUSAN