USIM terbit tiga produk seni budaya

USIM terbit tiga produk seni budaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan komitmen untuk mengangkat seni budaya Islam dan meluaskan capaian jaringan produk seni patuh syariah menerusi penerbitan tiga karya terbaharu.

Karya itu ialah buku bertajuk Kit Mahir Khat dan Jawi di samping Foto Jurnal: Kolo Pilah Di Sini Hati Den Terpaut serta sebuah album, USIM Taranum 5 Juara.

Pelancaran produk seni budaya itu hasil kreativiti pelajar, alumni dan warga universiti. 

Pengarah Pusat Kebudayaannya, Ismail Ahmed berkata, penghasilan produk berkenaan membuktikan yang seni budaya Islam mampu diterjemahkan kepada hasil karya untuk dimanfaatkan orang ramai.

Katanya, inisiatif itu bertepatan dengan usaha mengukuhkan kedudukan USIM di mata masyarakat.

Ujarnya, Pusat Kebudayaan USIM turut menjalin kerjasama dengan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menerusi penerbitan buku Foto Jurnal: Kolo Pilah Di Sini Hati Den Terpaut.

“Buku itu menceritakan keindahan dan kekayaan khazanah Kuala Pilah melalui koleksi foto sebagai fokus utama dengan naratif teks yang menyentuh emosi. 

“Mengandungi 16 tajuk, pembaca dapat menyoroti spektrum unik seni budaya dan warisan tradisional; makanan tradisi; rekreasi dan alam sekitar; serta tokoh anak negeri yang menjadi lambang keunikan Kuala Pilah,” katanya di sini baru-baru ini.

Majlis pelancaran buku itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang lalu.

Ismail berkata, buku Kit Mahir Khat dan Jawi  pula dihasilkan melalui dua siri iaitu permainan tradisional dan persembahan seni budaya.

Katanya, kedua-dua siri itu mamaparkan visual bergambar, latihan huruf tunggal dan huruf bersambung tulisan jawi untuk ditulis semula oleh kanak-kanak  berumur antara enam hingga sembilan tahun.

Manakala album USIM Taranum 5 Juara pula, ujarnya, menampilkan  qari universiti itu yang terdiri daripada pelajar, alumni dan pensyarah yang menempa nama di pentas tilawah al-Quran peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Tambahnya, bacaan al-Quran dalam album itu dialunkan Dr. Anuar Hasin, Mohamad Husaini Mahmur, Muhammad Umar Syazuli, Muhammad ‘Ammar Mukhlis Abdul Mohsin dan Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan. 

“Penerbitan album ini bertujuan menjaga kelestarian seni taranum ke peringkat  tinggi dan dalam bentuk dokumentasi tersusun untuk rujukan masyarakat serta generasi masa depan.  

“Album ini memuatkan 11 bacaan al-Quran yang dicetak menggunakan pemacu pena mesra pengguna untuk memudahkan pendengar mendengar dengan menggunakan sebarang peranti,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya