PENOLAKAN Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalam kalangan pembeli rumah domestik menyebabkan ramai kontraktor dan syarikat pemaju kecil menghentikan khidmat pembinaan menggunakan IBS.
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia), Tukiman Radion berkata, kebanyakan kontraktor yang menyediakan khidmat IBS sebelum ini mengadu pembeli lebih memilih pembinaan rumah domestik menggunakan kaedah konvensional.
“Bila dicadangkan untuk bina rumah menggunakan IBS, tuan rumah tidak mahu. Mereka takut kerana macam-macam mereka dengar, rumah IBS ini tidak kukuh, mudah roboh malah ada yang mendakwa kalau dilanggar motosikal, dinding boleh roboh.
“Penat kontraktor terangkan kelebihan menggunakan IBS terutamanya cepat siap dan tak perlu pekerja ramai jadi jimat kos, mereka tetap memilih bina rumah guna cara lama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut Tukiman, masalah berkenaan bakal berterusan jika tidak ditangani secara tuntas memandangkan kurang kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai kelebihan IBS berbanding kaedah konvensional.
“Rakyat perlu didedahkan dengan lebih agresif mengenai kewujudan IBS dalam membina kediaman bagi merancakkan lagi industri pembinaan di samping membantu penyedia teknologi dan pemasang IBS.
“Mereka tidak didedahkan berkaitan IBS terutama kebaikannya dari segi kekukuhan struktur, penjimatan kos pembinaan dan juga tenaga buruh.
“Paling penting, penjimatan biasa kerana kalau kita bina rumah menggunakan IBS dalam masa sebulan setengah ke dua bulan sudah boleh siap berbanding menggunakan kaedah konvensional yang memakan masa lebih tiga bulan,” katanya.
Justeru itu, beliau menyeru kerajaan memainkan peranan dengan memperkenalkan dan melaksanakan IBS di dalam pembinaan kediaman domestik agar orang ramai lebih berkeyakinan.
Katanya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) perlu membuka minda dan mata pengguna mengenai IBS dan bukan hanya memberi tumpuan kepada pembinaan berskala besar melibatkan pemaju-pemaju besar.
“Penekanan IBS perlu sentias berjalan, kita tidak boleh perkenalkannya dua hingga tiga tahun kemudian senyap, bila ini berlaku sudah pasti ia akan menyebabkan hanya segelintir sahaja yang peka mengenai IBS.
“Kerajaan juga perlu mencari alternatif membantu kontraktor-kontraktor kecil yang menyediakan khidmat IBS dalam meyakinkan pelanggan agar memilih IBS apabila ingin mendirikan kediaman,” katanya. – UTUSAN