Tingkatkan promosi, percepat proses kelulusan - Utusan Malaysia

Tingkatkan promosi, percepat proses kelulusan

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROGRAM MM2H  yang diperkenalkan kerajaan pada 2002 mampu meningkatkan permintaan untuk sektor hartanah dan secara tidak langsung menambah baik ekonomi negara.

Timbalan Ketua Pegawai Operasi 1 MK Land Holdings Berhad, Ahmad Soalahuddin Al-Thani sehubungan itu berpendapat, kerajaan perlu meningkatkan promosi, mempercepatkan proses kelulusan melalui agensi sehenti serta mengurangkan syarat kelayakan.

Bagaimanapun jelasnya, kelonggaran syarat tersebut tidak bermaksud kerajaan mengabaikan kepentingan rakyat tempatan (dalam pemilikan hartanah).

Tambahnya, pendekatan itu untuk membolehkan Malaysia kembali menjadi pilihan golongan ekspatriat untuk tinggal, sekali gus membantu menjana pertumbuhan sektor hartanah dan ekonomi negara.

“(Ini kerana) setelah syarat diperketatkan, permohonan baharu untuk MM2H telah menurun sebanyak 90 peratus dan negara-negara jiran pula kini menjadi pilihan ekspatriat untuk dijadikan sebagai rumah kedua mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Kerajaan sebelum ini bersetuju untuk mengkaji semula terma dan syarat peserta program berkenaan bagi  menarik lebih ramai ekspatriat memilih untuk tinggalkan negara ini sebagai rumah kedua mereka.

Sementara itu, beberapa peserta MM2H berkongsi pengalaman mereka menyertai program berkenaan dan menyarankan kerajaan Malaysia melaksanakan kembali syarat yang mesra ekspatriat untuk menarik lebih ramai peserta.

Richard Miller, 60, dari Lincolnshire menyifatkan, syarat penyertaan MM2H yang diperkenalkan pada 2021 terlalu ketat dan tidak mesra ekspatriat dan dibimbangi boleh menjejaskan minat mereka untuk tinggal di negara ini.

“Saya menyertai program MM2H selama 10 tahun dan kini sedang melalui proses pembaharuan program itu.

“Isteri dan anak saya orang Malaysia jadi saya mahu menetap secara kekal di Malaysia tetapi cabarannya besar.

“Kami telah memiliki hartanah di sini sejak 2013, melawat secara tetap setiap tahun dan telah menetap di sini secara tetap sejak 2020.

“Saya mencadangkan untuk memberi jaminan penduduk tetap selepas 15 tahun menggunakan visa MM2H bagi memulihkan keyakinan ekspatriat terhadap negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang lagi peserta, Lana El Asaad, 40, berkata, perubahan syarat MM2H itu memberi impak yang besar kepada dirinya.

Ujarnya, pemohon di bawah program MM2H perlu menunjukkan pendapatan luar pesisir minimum RM40,000, berbanding RM10,000 sebelum ini.

Katanya, turut meningkat ialah bukti aset cair antara RM350,000 dan RM500,000, kepada RM1.5 juta. Peningkatan itu sangat mendadak dan sangat tinggi buat ekspatriat.

“Tidak dinafikan, Malaysia menawarkan gaya hidup yang baik tetapi program seperti ini boleh perlu diuruskan dengan baik. Bagi saya, pendapatan bulanan yang wajar adalah sebanyak RM40,000.

“Syarat yang ketat itu benar-benar merosakkan keseluruhan program. Negara lain yang berdekatan menawarkan program yang lebih mudah.

“Justeru, saya menyarankan untuk menggunakan syarat MM2H seperti yang sebelum ini kerana ia lebih mudah untuk dipatuhi.

“Pandangan saya ini mewakili sebahagian besar golongan ekspatriat di Malaysia. Ramai juga orang di luar negara yang sedang menunggu program baharu MM2H ini dilancarkan.

“Kami berharap kerajaan Malaysia boleh menetapkan syarat-syarat yang lebih sesuai secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya