The Bos Gaurus terkulai dipatuk Sang Kenari

The Bos Gaurus terkulai dipatuk Sang Kenari

AMIRBEK Juraboev meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika menundukkan Perak 3-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ketiadaan Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain dan kapten pasukan, Manuel Ott tidak menghalang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk menewaskan Perak FC 3-0 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi. 

Sebaik pengadil, Ahmad Zuhadi Dzulkifli meniup wisel memulakan permainan, perlawanan dilihat lebih banyak berlegar di kawasan pelawat untuk tempoh 20 minit pertama.

KDA memiliki tiga percubaan tepat melalui Lee Tuck, Willian Lira dan Amirul Hisyam Awang Kechik namun kesemua percubaan itu tepat ke dakapan penjaga gol Perak, T. Shaheeswaran, sebelum penyokong tuan rumah dapat bersorak menyaksikan jaringan pertama Amirbek Juraboev pada minit ke-25. 

Gol itu terhasil apabila hantaran lintang Lee Tuck dari sebelah kanan pintu gol lawan berjaya disambar Juraboev di dalam kotak penalti. Pemain dari Tajikistan itu menggelecek penjaga gol pelawat lalu melakukan tolakan ke arah pintu gol Perak.

LEE Tuck mengawal bola daripada dirampas pemain Perak dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

Di sebalik kelesuan Perak sepanjang permainan, mereka akhirnya berjaya menjaringkan gol pada minit terakhir separuh masa pertama menerusi Muhammad Hadi Mohamad, tetapi jaringan itu dibatalkan setelah kapten mereka, Sunday Afolabi terlebih dulu mengasari penjaga gol Sang Kenari, Ifwat Akmal Chek Kassim. 

Memasuki babak kedua, penguasaan Kedah berterusan. Hanya lapan minit perlawanan bersambung, Sang Kenari memperolehi gol kedua perlawanan sekali lagi melalui gandingan Lee Tuck dan Juraboev. 

Gol terhasil apabila hantaran lintang dilakukan Lee Tuck sekali lagi tiba tepat ke kepala Juraboev. Dia kemudiannya melakukan tandukan kencang yang menyebabkan bola tetap masuk ke gawang meskipun dapat ditampan Shaheeswaran menggunakan tangan kirinya. 

Minit ke-65, pintu gol Perak teruji lagi apabila Manuel Hidalgo melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti. Shaheeswaran bagaimanapun cemerlang menampan keluar bola tersebut bagi menyelamatkan keadaan. 

Pintu gol Perak bagaimanapun bocor kali ketiga seminit kemudian. Sepakan sudut diambil Hidalgo singgah tepat ke kepala Lira untuk penyerang dari Brazil itu menanduk masuk bola bagi menjadikan kedudukan 3-0. 

Tampak yakin dengan aksi dipamerkan, penolong ketua jurulatih, Victor Andrag yang mengendalikan pasukan berikutan ketiadaan Nafuzi merehatkan Juraboev serta ‘kereta kebal’ pasukan itu di barisan pertahanan, Bojan Ciger pada minit ke-75 untuk digantikan dengan Jonathan Ballotelli serta Akmal Zahir. 

Perubahan itu tampak memberi sedikit ruang untuk pasukan pelawat ‘bernafas’ dan mengatur serangan namun tidak banyak yang mampu dilakukan anak-anak buah Yusri Che Lah untuk kedudukan kekal 3-0 menyebelahi tuan rumah. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya