Kita sering mempercayai apabila sesuatu musibah menimpa seseorang, ia dianggap kifarah iaitu hukuman yang diberikan Allah SWT sebagai balasan terhadap sesuatu dosa yang dilakukan.
Ujian-ujian Allah SWT itu juga boleh berlaku antaranya, membabitkan kematian orang yang dikasihi, keruntuhan rumah tangga, kehilangan harta benda dan sebagainya.
Minggu ini, saya kongsikan kisah Rozana, (bukan nama sebenar) yang mempercayai bahawa kifarah itu wujud dan benar.
Ini apabila rumah tangga yang dibina dengan suami orang selama hampir lima tahun, runtuh sekelip mata selepas kehadiran orang ketiga.
Situasi yang menimpa dirinya itu adalah disebabkan kifarah yang berlaku dek kerana sebelum ini dia pernah menyakiti hati wanita lain.
“Jika sebelum ini, saya menjadi penyebab keruntuhan rumah tangga orang lain, perkara sama juga saya lalui,” tulisnya dalam emel yang dikirimkan kepada saya baru-baru ini.
Dalam emelnya, Rozana mengakui dia tidak berniat membuka aib sendiri dan orang lain.
Sebaliknya, kata anak kelahiran Muar, Johor ini perkongsiannya lebih kepada memberi iktibar kepada masyarakat agar tidak melakukan perbuatan sama kepada orang lain.
Ini terutamanya kepada semua wanita di luar sana yang ada niat atau cubaan menjadi ‘penyondol’ dalam rumah tangga orang lain.
Cerita Rozana, segala-galanya bermula selepas berkenalan dengan Zack (bukan nama sebenar) pada pertengahan Mac 2015.
Awalnya, dia hanya memasang niat menumpang kekayaan lelaki berstatus suami orang yang juga usahawan berjaya itu.
Mulanya tiada rasa cinta. Perasaan biasa-biasa sahaja. Tetapi lama kelamaan, benih cinta mulai tumbuh.
Zack mula menunjukkan perhatian yang sangat menyentuh hati, sentiasa cuba ada untuk bersama dan mengambil berat.
“Ketika itu saya langsung tidak memikirkan soal hati dan perasaan isteri Zack. Berbanding keluarga sendiri, masa Zack lebih banyak bersama saya. Saya rela diusung ke sana sini semata-mata mahu meraih perhatian dan kasih sayangnya.
“Saya pula tidak ambil kisah dosa pahala. Hal isteri pertama dan rumah tangganya saya juga enggan ambil tahu, pandai-pandailah dia sendiri selesaikan,” tulis Rozana.
Setelah hampir lapan bulan bercinta, akhirnya mereka diijabkabul berwalikan hakim.
Setahun melayari bahtera rumah tangga, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Juwita (bukan nama sebenar).
Di sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan ribut di tengah hari.
Usia Juwita menjengah enam bulan, Zack mula menunjukkan sikap sebenarnya yang suka berfoya-foya dan kaki perempuan.
Luluh hati Rozana apabila mendapat tahu suami ada wanita lain. Bagaimanapun, kerana sayang dia tetap memberi peluang kepada suami walaupun berkali-kali curang dan bertukar-tukar teman wanita.
Perkara itu berlarutan sehingga dia hamil anak kedua.
Kesabarannya sampai ke kemuncak apabila pada Jun 2018 dia terpaksa bersalin dan menguruskan anak keduanya, Ryakkal (bukan nama sebenar) sendirian tanpa ditemani suami.
Ketika itu, bekas suami sedang mabuk cinta dengan seorang wanita kelab malam dan sudah jarang pulang ke rumah.
“Selepas selesai urusan pendaftaran anak, saya nekad untuk berpisah.
“Sebelum ini saya membiarkan sahaja suami bergelumang dosa bersama wanita lain kerana beranggapan tidak boleh hidup tanpanya,” ujar Rozana yang berpisah secara rasmi dengan suami pada Mac 2019.
Kongsi Rozana, dia mendapat tahu bekas suami telahpun berkahwin dengan salah seorang teman wanitanya pada awal 2020.
Bagaimanapun, rumah tangga mereka dikhabarkan tidak bertahan lama apabila bekas suami masih kekal dengan perangai suka berfoya-foya dan kaki perempuan.
Rozana sempat berkongsi bagaimana mengenali lelaki ‘play boy’ seperti bekas suaminya.
“Lelaki sebegini sangat mudah untuk mengungkapkan kata-kata cinta kepada wanita yang baru dikenali.
“Pandai berkata-kata walaupun kebanyakannya cuma kata kosong atau temberang semata-mata.
“Ciri-ciri itu ada pada bekas suami saya yang sangat pandai memujuk dan membuatkan hati wanita cepat cair. Dan saya tidak terkejut mungkin ramai lagi wanita yang akan menjadi mangsa bekas suami saya seterusnya,” tulisnya.
Di akhir tulisannya, Rozana sempat menitip pesan, jika ada wanita lain di luar yang sedang berusaha gigih meruntuhkan rumah tangga orang, masih ada peluang dan waktu untuk mereka undur diri.
“Sebab kifarah itu benar, apa yang kita buat akan berpatah balik kepada kita. Mungkin juga bukan pada diri kita, tetapi pada waris dan keturunan kita,” ujarnya yang masih menyimpan hasrat bertemu isteri pertama bekas suami jika diizinkan Allah SWT suatu hari nanti.
Katanya, dia hanya ingin memohon maaf pada wanita yang pernah disakiti hatinya sebelum ini.
Kongsi Rozana, dia tidak menyesal dipertemukan dengan bekas suaminya.
“Allah memiliki rencana yang begitu indah untuk setiap hamba-Nya. Saya anggap semua itu ujian yang Allah SWT berikan kepada saya.
“Saya benar-benar menyesal atas apa yang berlaku sebelum ini. Setelah tiga tahun berstatus ibu tunggal, saya lebih matang dalam melakukan sesuatu atau dihadapkan dengan situasi tertentu,” ujarnya.
Dalam Islam apa yang perlu difahami, kifarah adalah hukuman yang diberikan Allah SWT sebagai balasan dan ia akan menghapuskan dosa jika seseorang itu bersabar dengan dugaan dan ujian tersebut.
Sebagaimana, Saidatina Aisyah RA meriwayatkan Rasulullah SAW pernah bersabda, “Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah SWT akan menggugurkan dengannya satu dosa’ (Hadis Riwayat Al Bukhari & Muslim). – UTUSAN ONLINE