GEORGE TOWN: Penang Black Panthers gagal mengekalkan rentak kemenangan dalam saingan minggu kedua kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) Emas Anuar 2023 selepas tunduk ‘straight set’, 23-25 dan 10-21 kepada juara bertahan, ATM Guardians di Spice Arena, malam tadi.
Meletakkan trio Ronnapee Nongkhai sebagai tekong, Zaim Razali dan Azlan Alias, masing-masing sebagai apit kiri dan kanan, skuad Harimau Kumbang itu bagaimanapun bermula garang pada set pertama apabila berjaya mengheret perlawanan hingga ke mata penentuan beberapa kali sebelum akur dengan kekalahan tipis, 23-25.
Kemasukan Zarif Merican menggantikan Ronnapee sebagai tekong pada mulanya dilihat mampu memberikan saingan kepada ATM Guardians yang dibarisi trio Hairul Hazizi (tekong), Norfaizzul Razak (apit kiri) dan Afifuddin Razali sebagai apit kanan.
Bagaimanapun, aksi kurang bertenaga yang dipamerkan oleh Penang Black Panthers pada set kedua menyukarkan mereka untuk bangkit selepas ketinggalan mata agak jauh sekali gus terpaksa ‘berputih mata’ dengan kekalahan pertama di hadapan penyokong sendiri.
Penolong jurulatih Penang Black Panthers, Ahmad Sufian Napiah ketika ditemui sejurus perlawanan tamat berkata, corak permainan ATM Guardians yang agak laju khususnya pada set kedua gagal disaingi dengan baik oleh anak-anak buahnya.
“Kita ketinggalan tujuh mata pertama pada set kedua. Begitu laju (permainan ATM Guardians).
“Walaupun kita cuba bangkit dan ‘drag’ masa (melengahkan permainan) tapi kita tetap gagal untuk mengekang kemaraan mereka,” katanya yang memberitahu, kecemerlangan Hazizi antara faktor yang menyebabkan Penang Black Panthers kecundang malam itu.
Sementara itu, Zaim yang bertindak sebagai kapten untuk Penang Black Panthers memohon maaf kepada penonton tuan rumah kerana gagal meneruskan rentak kemenangan selepas mengharungi perlawanan keempat, malam tadi.
Ketika ini, ATM Guardians gah mendahului saingan STL Emas Anuar 2023 apabila mengumpul lapan mata daripada lima perlawanan dengan diekori rapat oleh satu-satunya pasukan yang belum tewas setakat ini iaitu Kuala Lumpur Thunder yang mengumpul jumlah mata yang sama, namun, kurang satu perlawanan.
Penang Black Panthers pula terpaksa berpuas hati apabila sekadar menghuni tangga ketiga daripada 10 pasukan dengan mengumpul enam mata pada saingan minggu kedua ini. – UTUSAN