PETALING JAYA: Skuad bawah 17 tahun (B-17) Malaysia memilih laluan sukar untuk mengotakan misi layak ke Piala Dunia apabila memulakan aksi pertama Kumpulan A, Piala Asia B-17 dengan kekalahan.
Turun dengan misi mengutip mata berharga, Malaysia terpaksa akur dengan kekuatan dimiliki skuad Yemen apabila tunduk 4-0 dalam aksi di Stadium Thammasat, Thailand, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad bimbingan Osmera Omaro itu perlu meraih kemenangan dalam dua lagi aksi berdepan seteru ASEAN, Thailand dan Laos jika mengimpikan peluang untuk melangkah ke suku akhir.
Dalam aksi itu, Yemen terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi ledakan Abdulrahman Al-Khader pada minit ke-21.
Jentera serangan Yemen sekali lagi berjaya menembusi gawang negara yang dikawal Farish Farhan pada minit ke-31.
Keputusan Masa Penuh
Kumpulan A Piala Asia B-17 2023
YEMEN 🇾🇪 4-0 🇲🇾 MALAYSIA
⚽️ Abdulrahman Al-Khader 21’ Adel Abbas 31’ Anwar Hussein 47’ (P) Adib Ibrahim 88’ (GS)#FAM #HarimauMalaya #AFCU17 pic.twitter.com/LsH7l4lvvp— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 15, 2023
Kedudukan itu kekal sehingga babak pertama berakhir sekali gus memberi keselesaan kepada Yemen.
Skuad muda negara terus ditimpa malang apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada Yemen hanya dua minit selepas babak kedua bersambung dan sepakan itu mudah disudahkan Anwar Hussein Al Turaiqi untuk kedudukan 3-0.
Berbaki empat minit sebelum tamat perlawanan, Adib menambah derita skuad negara apabila tampanannya memasuki gawang sendiri untuk gol keempat buat Yaman.
Selepas ini, skuad negara akan berdepan cabaran tuan rumah, Thailand , sementara Yemen akan menentang Laos, Ahad ini. – UTUSAN ONLINE