Selangor catat peningkatan pencapaian SPM 2022 - Utusan Malaysia

Selangor catat peningkatan pencapaian SPM 2022

SPM Selangor
JAFRI Abu ditemui pemberita selepas mengumumkan keputusan SPM 2022 dekat SMK Seksyen 18, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor mencatatkan jumlah calon yang lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 meningkat sebanyak 1.34 peratus berbanding tahun lalu dengan keseluruhan 55.2 peratus daripada 63,196 pelajar yang mendudukinya.

Pengarah Pendidikan Selangor, Dr. Jafri Abu berkata, berbanding 2021, jumlah calon yang lulus peperiksaan itu adalah 34,944 namun peratusannya rendah iaitu 53.78 peratus daripada 66,763 pelajar.

“Ini adalah satu peningkatan yang baik dan kita harap jumlah calon yang lulus akan terus meningkat pada tahun hadapan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengumumkan keputusan SPM 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18, di sini, hari ini.

Beliau mengulas lanjut, pelajar yang mendapat keputusan gred cemerlang iaitu A-, A dan A+ bagi semua subjek turut meningkat sebanyak 0.17 peratus berbanding tahun lalu apabila seramai 1,860 calon memperoleh pencapaian tersebut.

Jelas Jafri, Gred Purata Nasional (GPN) SPM 2022 untuk Selangor adalah 4.80 dan turut mencatatkan peningkatan, iaitu 0.07 mata berbanding 4.87 pada tahun lalu.

“Sebanyak 24 daripada 56 mata pelajaran telah mencatatkan peningkatan prestasi di Selangor seperti Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik. Manakala 16 matapelajaran seperti Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral mencatatkan penurunan.

“Calon yang mendapat sijil SPM 2022, iaitu wajib lulus Bahasa Melayu dan Sejarah turut meningkat, iaitu sebanyak 89.25 peratus berbanding 85.60 peratus pada SPM 2021,” ujarnya.

Kata Jafri lagi, JPN Selangor akan terus berusaha untuk meningkatkan jumlah calon SPM akan datang untuk mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN