Sekretariat NGO Malaysia-Selatan Thai ditubuhkan

Sekretariat NGO Malaysia-Selatan Thai ditubuhkan

WAKIL hampir 50 NGO dari Malaysia dan Selatan Thailand menyertai Sidang Meja Bulat selama dua hari di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebuah sekretariat bakal diwujud melibatkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia dan Selatan Thailand bagi melaksanakan perkara berkaitan kebajikan, ekonomi, pendidikan, khidmat masyarakat serta agama dan budaya. 

Menurut Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid, sekretariat itu juga akan memainkan peranan untuk mendesak agar pertubuhan kedua-dua negara disertakan dalam rundingan melibatkan keamanan di wilayah selatan Thailand. 

Katanya, NGO-NGO terlibat telah memutuskan agar sebuah NGO dari Malaysia dan satu dari Thailand bertindak setidak-tidaknya sebagai pemerhati dalam rundingan tersebut. 

“Ketetapan telah dibuat oleh hampir 50 NGO dari Malaysia dan selatan Thai yang berhimpun sejak dua hari lalu di Alor Setar. Kami berbincang dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU). 

BERBALAH

“Kami fikir perkara ini bukan satu masalah memandangkan Malaysia memang menjadi orang tengah bagi rundingan melibatkan pihak berbalah. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga ketika mengadakan kunjungan ke Thailand menyatakan komitmen bagi menamatkan pergolakan di wilayah itu.

“Perkara ini telah kami bincangkan dengan Wisma Putra dan apa yang diperlukan adalah kesediaan kedua-dua kerajaan mengiktiraf dan menerima kehadiran kami. Kami hanya mahu membantu mencari pendamaian dan tidak akan menyebelahi mana-mana pihak dalam rundingan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas berakhir Sidang Meja Bulat Masyarakat Sivil Inisiatif Madani Serantau (IMAR) antara Malaysia dan Selatan Thailand di sini, semalam. 

Mohd. Azmi berkata, perbincangan antara wakil NGO dan organisasi masyarakat sivil (CSO) dalam sidang meja bulat itu mendapati mereka memiliki kekuatan yang sangat besar bagi membantu menjayakan rundingan tersebut. 

ARIF

Katanya, salah satu kekuatan itu adalah NGO terlibat memiliki sumber pemikir, intelektual dan ahli akademik yang sangat arif tentang apa yang sedang berlaku di selatan Thailand. 

“Selain itu, NGO ini sangat rapat dengan golongan bawahan atau masyarakat miskin di sana. Kami selalu adakan program termasuk bantu keluarga mereka yang terkorban akibat konflik tersebut, sesuatu yang mungkin terlepas pandang oleh pihak-pihak lain. 

“Kami juga ada pengaruh dari segi kegiatan kemanusiaan kerana sering bertindak cepat dalam hal berkaitan kebajikan. Mungkin kekurangan kami dari aspek dana tetapi kalau diiktiraf kami yakin mampu membantu dalam usaha perdamaian ini,” katanya. 

Sementara menanti keputusan berhubung perkara itu katanya, terdapat beberapa usaha yang akan dijalankan dalam kadar segera bersandarkan perkara-perkara dibincangkan dalam sidang meja bulat tersebut. 

“Antara rungutan yang diterima daripada NGO di sana adalah kekurangan buku bahasa Melayu dan tulisan jawi untuk pendidikan. Maka kami di sini boleh bertindak dengan membantu membekalkan bahan tersebut. 

“Dalam masa sama kami akan membina pangkalan data daripada sumber-sumber sedia ada. Sebagai contoh, kami memiliki maklumat mengenai jumlah sekolah pondok di seluruh selatan Thailand serta jumlah yang tidak berdaftar dan data-data ini sangat penting dalam usaha membantu rundingan,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya